suria

Muktamar Tahunan PAS: Proses Pengundian Bermula

GOMBAK: Proses pengundian bagi pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi sesi 2011-2013 bermula pada pukul 4 petang tadi.

Seramai 1077 perwakilan layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih kepimpinan parti itu yang baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, keputusan bagi pemilihan tersebut akan diumumkan pada hari kedua Muktamar Tahunan PAS ke-57.

"Insya-Allah keputusan bagi pemilihan ini akan kita umumkan pada pukul 10 pagi esok," katanya pada sesi taklimat sebelum proses pengundian bermula.

Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diisytihar menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden bagi penggal kelima.

Bagaimanapun saingan sengit berlaku bagi jawatan Timbalan Presiden apabila menyaksikan saingan tiga penjuru antara penyandangnya, Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu.

Bagi jawatan Naib Presiden menyaksikan saingan enam penjuru iaitu paling sengit dalam sejarah pemilihan parti itu melibatkan nama-nama besar dan mempunyai kehebatan tersendiri.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar dianggap oleh banyak pihak sebagai calon popular bagi jawatan itu.

Selain Mohammad Nizar, lima calon lain yang akan bertanding jawatan Naib Presiden ialah penyandang, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar; Ketua Penerangan, Idris Ahmad; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Datuk Mohd Amar Abdullah.

Selain itu 52 calon bertanding bagi merebut 18 kerusi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Dalam padaitu, Abdul Halim memberitahu, buat julung kali, penggunaan Borang 14 seperti yang digunapakai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diperkenalkan bagi memastikan proses pengiraan undi dilaksanakan dengan telus.

Penggunaan borang, katanya, berkenaan bagi mengelakkan berlakunya keraguan terutamanya sewaktu proses pengiraan undi dijalankan.

Artikel Lain