suria

Hanya 10 Peratus Pakai Tali Pinggang Tempat Duduk Belakang

SEREMBAN: Hanya 10 peratus penumpang kereta yang memakai tali pinggang tempat duduk belakang sejak peraturan itu diperkenalkan dua tahun lalu, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh.

Beliau berkata ini menunjukkan orang ramai masih tidak menyedari bahawa tanpa memakai tali pinggang belakang, peluang untuk mereka mendapat kecederaan parah atau kematian dalam satu-satu kemalangan meningkat kepada 50 peratus.

Pada masa yang sama beliau kesal kerana hampir setengah juta pemilik kereta buatan tempatan seperti Proton dan Perodua masih tidak memasang tali pinggang belakang di kereta mereka.

"Tempoh untuk mereka berbuat demikian hanya tinggal 6 bulan sahaja lagi. Ramai yang gagal memasang alat keselamatan itu di cawangan Perodua dan Proton walaupun ia percuma," katanya kepada pemberita pada operasi khas keselamatan jalan raya di kawasan Rehat dan Rawat PLUS di sini Khamis.

Suret berkata sehingga kini 410,000 pemilik kereta Perodua dan 188,199 pemilik kereta Proton gagal memasang tali pinggang tempat duduk belakang.

Selepas 31 Disember ini, pemilik kenderaan yang tidak memasang tali pinggang belakang boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain