suria

Dasar Keluarga Negara Akan Tangani Tujuh Isu Utama, Kata Napsiah

MELAKA: Dasar Keluarga Negara (DKN) akan melaksanakan pelan tindakan bagi menangani tujuh isu utama dalam permasalahan yang dihadapi keluarga di negara ini, kata Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Tan Sri Napsiah Omar.

Beliau berkata isu itu ialah demografi usia penduduk kurang seimbang, penurunan kesuburan penduduk, pertambahan bilangan isi rumah, senario perkahwinan yang membimbangkan, jenis keluarga masa kini, isu sosial dalam keluarga dan dasar berkaitan keluarga yang tidak bersepadu.

LPPKN kini dalam usaha menerangkan mengenai dasar itu dan pelan tindakan yang perlu dilakukan bagi merealisasikan dasar tersebut, katanya kepada pemberita selepas Majlis Bual Bicara Dasar Keluarga Negara di Ayer Keroh di sini, Selasa.

DKN diluluskan oleh Kabinet pada 17 Disember tahun lepas dan dilancarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 19 Mei lepas.

Mengenai program Bual Bicara DKN, Napsiah berkata Melaka adalah negeri kelima dalam kalendar LPPKN untuk menerangkan mengenai DKN dan pelan tindakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan.

Ketua Pengarah LPPKN Datuk Aminah Abdul Rahman berkata kemasukan terlalu banyak warganegara asing ke negara ini perlu dilihat sebagai satu masalah pada institusi keluarga.

"Malah di Melaka sendiri terdapat 100 orang warganegara asing bagi setiap 2,000 orang warganegara, kita perlu teliti perkara ini sedalam-dalamnya," katanya.

Beliau berkata kepesatan aktiviti perindustrian di Alor Gajah dalam tempoh 10 tahun ini mungkin antara perkara yang menyebabkan kemasukan lebih ramai warganegara asing ke daerah itu dan juga orang tempatan.

Berdasarkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia tahun lepas, Melaka mempunyai kadar pertumbuhan penduduk yang amat memberangsangkan iaitu 2.65 peratus dengan daerah Alor Gajah mencatatkan pertumbuhan tertinggi iaitu 2.71 peratus diikuti Melaka Tengah (2.65 peratus) dan Jasin (2.57 peratus).

Katanya mengikut bancian, Melaka kini mempunyai seramai 788,706 penduduk berbanding 605,239 pada 2000 dan 506,321 pada 1991. - BERNAMA

Artikel Lain