suria

Perayaan Kaamatan Dan Gawai Dayak Buka Peluang Rakyat Pamer Kepelbagaian Etnik Kepada Dunia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Perayaan Kaamatan dan Gawai Dayak yang disambut oleh masyarakat pribumi Sabah dan Sarawak minggu ini membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempamerkan kepelbagaian budaya dan etnik mereka kepada dunia.

Perdana Menteri berharap agar rakyat Malaysia dari negeri-negeri di wilayah Borneo itu berkongsi budaya mereka dengan megahnya dan membuka pintu kepada rakan-rakan senegara dari Semenanjung.

Najib juga meminta agar rakyat Malaysia di Semenanjung mengambil peluang itu untuk mengenali dengan lebih mendalam kekayaan milik kita sebagai satu bangsa yang berbilang budaya.

"Tatkala kita berusaha mentransformasi untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju sepenuhnya, janganlah kita lupakan tradisi zaman berzaman yang telah begitu lama tersulam indah dalam jati diri kita sebagai satu bangsa.

"Ia bermula dengan kita di tanah tempat tumpah darah kita sendiri, menghayati kekayaan warisan negara," katanya dalam laman blognya www.1malaysia.com.my di sini Isnin.

Beliau berkata Kaamatan dan Gawai Dayak merupakan dua perayaan yang begitu unik di wilayah Borneo kerana ia disambut oleh masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak dan tidak di tempat-tempat lain di dunia.

Najib turut mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia yang menyambut kedua-dua perayaan itu "Kotobian tadau tagazo do Kaamatan" (Selamat menyambut Kaamatan) dan Selamat Hari Gawai, "gayu guru gerai nyaman" (semoga panjang umur, diberikan kesihatan dan kemakmuran). - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain