suria

Operasi Mencari Dan Menyelamat Diteruskan Walaupun Malam Dan Hujan - Khalid

- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI
- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI
- Foto THE STAR Oleh AZMAN GHANI

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat, ditemui.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Datuk Seri Khalid Abu Bakar ketika ditemu bual menerusi Astro Awani berkata operasi mencari dan menyelamat melibatkan 200 anggota terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

"Operasi mencari dan menyelamat ini akan diteruskan sampai semua mangsa ditemui walaupun hari telah malam dan keadaan hujan," katanya.

Dalam pada itu, Khalid turut meminta orang ramai supaya menjauhi tempat kejadian tanah runtuh bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada petugas menyelamat menjalankan tugas dengan lancar.

"Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan. Oleh itu, kita minta supaya orang ramai yang berdekatan dan yang ingin datang melihat, menjauhkan diri dari kawasan kejadian.

"Kita bimbang perkara-perkara yang tidak diingini yang lain pula berlaku," katanya.

Mengenai status rumah anak yatim berkenaan, Khalid berkata pihaknya buat masa ini menumpukan kepada operasi menyelamat terlebih dahulu dan perkara mengenai status rumah anak yatim berkenaan akan disiasat kemudian.

"Kita belum teliti dan akan siasat kemudian, yang penting ialah operasi mencari dan menyelamat mangsa dulu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain