suria

Jangan Wujudkan Puak Dalam Umno

KOTA MARUDU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman mengingatkan anggota Umno di Sabah supaya tidak mewujudkan 'puak-puak' yang akhirnya boleh merosakkan parti yang menjadi tunjang kerajaan negeri.

Beliau berkata kewujudan puak-puak akan mengakibatkan anggota parti bermusuh sesama sendiri dan hilang tumpuan berdepan dengan parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Sebab itu, jangan kita wujudkan puak-puak dalam Umno Sabah. Kita perlu bersatu padu dan bekerja dalam satu pasukan bagi memantapkan kekuatan parti dan seterusnya meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Marudu di Dewan Masyarakat Kota Marudu di sini, Selasa.

Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yakin Umno tetap pilihan terbaik kerana parti itu mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang terutama dalam membawa pembangunan dan kemajuan rakyat di negeri itu.

"Umno mempunyai pemimpin yang amat prihatin terhadap keperluan rakyat Sabah dan menunaikan janji kepada kita di Sabah. Antara rahmat Umno ke Sabah ialah rakyat terbela, limpahan pembangunan dan kemakmuran serta kestabilan politik.

"Banyak rahmat dan nikmat yang kita kecapi sejak Umno bertapak kukuh di Sabah termasuk penyediaan dan peningkatan kemudahan asas, pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup rakyat," katanya.

Musa berkata selain itu, Umno telah membawa pembangunan dan pemerkasaan modal insan dalam bidang pendidikan termasuk sekolah-sekolah luar bandar, pengajian tinggi dan kemahiran seperti hab pendidikan, Universiti Malaysia Sabah, politeknik dan Institut Latihan Perindustrian.

"Semua ini bakal melahirkan modal insan cemerlang sebagai pemimpin pelapis dan tenaga profesional pada masa depan," katanya.

Musa berkata hubungan erat antara pemimpin kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Umno dengan pemimpin kerajaan negeri membolehkan agenda pembangunan dan usaha membela nasib rakyat, dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau turut mahu anggota Umno supaya terus mendekati rakyat terutama golongan muda melalui pelbagai kaedah bagi menghadapi PRU akan datang.

"Umno sebagai tulang belakang kepada Barisan Nasional (BN) perlu memperhebatkan jentera parti agar Umno dan BN menjadi lebih kukuh dan bersedia untuk menghadapi PRU ke-13 nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain