suria

Rela Akan Ditugaskan Berkawal Di Stesen Minyak Di Sempadan Negara - Ismail Sabri

JEMPOL: Kerajaan akan menempatkan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) di setiap stesen minyak di kawasan sempadan untuk mencegah penyeludupan keluar petrol dan diesel oleh rakyat negara ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tarikh pelaksanaan tugas baru Rela itu belum ditentukan namun kebenaran sudah pun diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Jempol 2011 malam tadi.

Sambil menyifatkan golongan penyeludup ini sebagai "pengkhianat", beliau berkata mereka kelak akan menyusahkan orang lain apabila bekalan di stesen minyak di sempadan kehabisan kerana dijual kepada rakyat negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

"Pengkhianat" ini tahu bahawa minyak Malaysia masih sangat murah berbanding negara jiran dan mereka akan sentiasa mampu membuat keuntungan untuk satu tempoh yang panjang, katanya.

Di Thailand misalnya, minyak dijual pada harga antara RM3.50 dan RM4 seliter dan sekali ganda lebih mahal berbanding dengan harga di pasaran Malaysia, katanya.

"Apabila kita arah syarikat minyak jangan jual pada warga asing dan kita beritahu kalau dia jual pada warga asing kita tarik lesen dia, mereka tidak lagi jual tetapi apa yang berlaku, rakyat Malaysia sendiri yang menjadi penyeludup, isi minyak dan bawa ke seberang," katanya.

Ketika berucap, Ismail menjelaskan kerajaan menanggung kira-kira RM17 bilion bagi subsidi petrol dan diesel.

"Kalau ada kenaikan sikit-sikit (pada barangan lain) janganlah marah pada kerajaan, pembangkang akan cakap apa sahaja, di negeri dia macam di Pulau Pinang, harga air naik 40 peratus," katanya.

Beliau berkata kenaikan harga bawang putih sekarang disebabkan negara pengeluar bahan itu iaitu China dilanda masalah, sebelum itu harga bawang merah tinggi disebabkan pengeluarnya iaitu India dilanda banjir, katanya.

"Bukan semua kerajaan boleh kawal kerana ada hal yang berkait dengan peristiwa yang berlaku di luar negara. Minyak misalnya semakin naik disebabkan masalah yang melanda negara pengeluar minyak di Timur Tengah," katanya.

Beliau meminta orang ramai bersabar dalam keadaan hari ini yang semakin sukar dan tidak terpedaya dengan pembangkang yang menganggap semua perkara boleh diselesaikan dengan mudah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain