suria

Program SUKAGUAM Diteruskan 20 Mei Depan

PETALING JAYA: Program Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SUKAGUAM) akan diteruskan pada 20 Mei depan bertempat di Restoran Ali Maju, Pusat Bandar Damansara di sini.

Pengerusinya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, program yang diadakan dua kali sebulan iaitu pada setiap Jumaat minggu kedua dan ketiga itu diteruskan selepas mendapat sambutan hebat daripada masyarakat pada dua sesinya sebelum ini.

"Kita amat berharap program pada 20 Mei depan akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.

Sebelum ini SUKAGUAM telah membuka kaunter di Restoran Ali Maju di Setapak dan Bandar Baru Rawang.

Pelbagai masalah perundangan berkaitan sivil dan syariah telah diutarakan kepada pihak SUKAGUAM dan rata-rata memberi maklum balas positif mengenai program itu.

Terdahulu program itu diwujudkan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan guaman secara percuma.

Penubuhan SUKAGUAM juga sekaligus dapat memberi pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai hal berkaitan perundangan yang tidak diketahui oleh mereka.

Program yang akan pada pukul 3 hingga 6 petang turut akan disertai tujuh peguam berpengalaman membantu dan memberi khidmat nasihat guaman kepada orang ramai yang datang ke restoran itu.

Sementara itu, Khairul Anwar juga menyeru kepada peguam-peguam yang ingin melakukan khidmat sosial agar menyertai program ini dengan menghantar e-mel kepada pihak SUKAGUAM di sukaguam.gmail.com.

"Masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mempunyai sebarang pertanyaan mengenai program ini juga dialu-alukan untuk menghantar e-mel kepada pihak kami," katanya.

Artikel Lain