suria

Samseng Rekrut Ahli Guna Facebook

MELAKA: Kumpulan samseng kini mempunyai kaedah terkini untuk merekrut ahli baru iaitu melalui laman web sosial, Facebook.

Amirul seorang pelajar Tingkatan Empat dari Alor Gajah mengatakan dia menerima pelawaan dari seorang kenalan Facebooknya melalui laman web sosial itu.

"Saya menerima satu mesej yang mempelawa saya menyertai satu kumpulan yang dipanggil 'Tiga Line'. Salah seorang kawan Facebook saya yang mahu saya menyertai geng ini," jelas Amirul.

Amirul yang enggan nama penuhnya disiarkan memberitahu terdapat gambar menunjukan sekumpulan remaja memegang senjata tajam dan topi keledar yang telah hancur di dalam gaya yang menakutkan.

"Di dalam mesej itu juga terdapat butiran-butiran tentang bagaimana caranya untuk menjadi ahli kumpulan itu. Jika saya memasuki kumpulan itu, saya boleh menyertai mereka di dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuklah lumba haram."

Menurut Amirul, kumpulan itu mendakwa mereka mempunyai ahli di seluruh negara dan jika dia menyertai kumpulan itu melalui Facebook, dia kan 'dilindungi' oleh ketua kumpulan di negeri ini.

Apa yang diperlukan hanyalah yuran kemasukan RM13 yang harus dimasukkan ke dalam satu akaun bank yang akan diberitahu jika dia bersetuju menyertai kumpulan itu.

Bagaimanapun, Amirul telah memberitahu bapanya tentang perkara tersebut.

Di dalam satu temubual, bapa Amirul yang berusia 51 tahun mengatakan dia kemudiannya mendapat tahu dari anak-anak jiran yang kumpulan samseng itu akan membuat perjumpaan di kawasan-kawasan seperti ladang kelapa sawit.

"Saya juga diberitahu yang kumpulan samseng ini akan berlumba secara haram dan akan mengadakan pergaduhan dengan kumpulan samseng yang lain.

Seorang lagi pelajar tingkatan empat yang hanya mahu dikenali sebagai Aru mendakwa dia pernah diajak menyertai satu kumpulan samseng yang dinamakan "36' atau "Satu Hati".

Aru memberitahu bahawa gambar hero-hero filem Tamil akan dipaparkan di laman Facebook dan penerima perlu mengklik paparan itu untuk mendapat akses kepada laman web kepunyaan geng tersebut.

Kemudian satu set soal selidik akan dipaparkan dan perlu dijawab.Antara soalan yang ditanya adalah pengalaman dalam pergaduhan dan kesediaan mereka dilatih untuk pergaduhan jalanan.

"Apabila semua soalan yang diberi sudah dijawab, anda akan menjadi rakan mereka di facebook.

"Terdapat yuran keahlian seumur hidup iaitu sebanyak RM36 dan perlu dibayar melalui bank dalam talian." tambahnya.

Aru juga mendakwa bahawa terdapat gambar-gambar yang memaparkan ahli kumpulan senior memberi minuman keras untuk menarik minat pelajar-pelajar menyertai geng ini.

Mengikut Aru lagi, kebanyakan rakan Facebook milik geng ini terdiri daripada remaja lelaki malah terdapat juga sebilangan remaja perempuan.

Di dalam satu kes lain, seorang pelajar perempuan tingkatan lima dari salah satu sekolah cemerlang di sini mengatakan bahawa pada tahu lalu dia telah mendapat keistimewaan menyertai satu geng yang menawarkan perlindungan kepadanya.

Jiayi mengatakan pada masa itu dia sedang menghadapi masalah dengan bekas teman lelakinya yang sering menganggu dirinya kerana dia meminta untuk mutuskan hubungan itu.

Apabila gangguan dari lelaki itu tidak dapat dikawal lagi, seorang rakan kelasnya mencadangkan Jiayi mendapatkan "bantuan khas" dari satu geng yang dikenali sebagai "Hung Hing" melalaui Facebook.

"Kawan saya memberitahu kumpulan itu diketuai oleh seorang mahasiswa universiti tempatan yang mempunyai ramai kenalan," katanya.

Jiayi menyatakan yang kumpulan samseng itu megambil ahli baru melalui Facebook.

"Rakan sekelas saya memberitahu yang ketua kumpulan dan pengikut-pengikutnya akan memberikan saya perlindungan jika saya menyertai kumpulan itu.

"Jika saya memberi gambar dan nama individu yang mengganggu saya, mereka akan memeberinya 'pengajaran'."

Dia memberitahu bahawa mereka yang ingin menyertai geng itu perlu membuat satu permintaan di laman

Facebook kumpulan itu dan menyertakan nama individu yang menawar atau mencadangkan mereka menyertai kumpulan itu.

"Saya pula diberitahu yang saya perlu menggunakan nama teman lelaki rakan sekelas saya yang merupakan ahli geng itu," beritahunya.

Jiayi bagaimanapun tidak menyertai kumpulan samseng tersebut dan meminta bantuan ibu bapanya untukmenyelesaikan masalah yang dihadapinya itu.

Artikel Lain