suria

Tawaran Biasiswa JPA Berkuatkuasa Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar yang mendapat keputusan 8A+ dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 tanpa mengira kaum dilaksanakan berkuat-kuasa pada tahun ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemberian biasiswa itu adalah hadiah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas melihat pencapaian cemerlang direkodkan dalam SPM tahun lalu.

"Pada tahun lalu, ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang. Jadi, Perdana Menteri berpendapat mereka perlu diberi peluang untuk menerima biasiswa itu. Walaupun hanya mendapat keputusan 8A+, kita yakin pelajar itu terdiri daripada kelompok cerdik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Hari Pekerja 2011 di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, Sabtu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, berita baik itu bukan saja dipersetujui kabinet tetapi disambut baik pelajar dan keluarga terbabit.

Pada Julai lalu, Najib memberitahu semua pelajar yang memperoleh 9A+ atau lebih tanpa mengira kaum layak mendapat biasiswa itu.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini, beliau mengumumkan bahawa pelajar yang mendapat keputusan 8A+ turut layak mendapat tajaan biasiswa itu untuk melanjutkan pelajaran di dalam mahupun luar negara.

Pencapaian keseluruhan keputusan SPM 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun dengan 368, 559 calon berjaya memperolehi sijil berbanding 364, 046 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Muhyiddin menggesa kesatuan sekerja dan majikan supaya membina hubungan tripartisma yang harmoni dan saling melengkapi untuk memberi manfaat kepada semua pihak.

Katanya, hubungan yang harmoni itu dapat membantu negara menghasilkan modal insan yang cemerlang dan berkemahiran dalam pelbagai bidang sekaligus meningkatkan daya saing dalam era globalisasi hari ini.

"Bukan saja majikan yang mendapat manfaatnya tetapi ia turut memberi impak positif kepada pekerja dan masyarakat sekeliling," ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S Subramaniam, Presiden Persekutuan Majikan -Majikan Malaysia (MEF), Datuk Azman Shah Haron dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman.

Sambutan Hari Pekerja 2011 yang bertemakan 'Pekerja Merealisasi Transformasi Negara' mendapat penyertaan seramai 12,000 peserta, gabungan daripada sektor perkhidmatan awam dan swasta.

Artikel Sebelum

Artikel Lain