suria

Peniaga Nasi Campur Didakwa Samun Kereta

GEORGE TOWN: Seorang peniaga nasi campur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis terhadap tuduhan menyamun sebuah kereta milik seorang lelaki dengan bersenjatakan pisau pada Jumaat lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Sitarun Nisa Abdul Aziz menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Shahrul Azlan Abdul Jaffar, 25, diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin.

Shahrul Azlan dituduh telah menyamun sebuah kereta jenis Honda Civic milik Kenneth Chew, 30, pada 12.40 pagi 16 April lepas di tepi Jalan Thean Teik.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Abu Hanifah manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Shahrul Azlan turut didakwa di Mahkamah Majistret berhubung tuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 5.7 gram di hadapan wad bersalin Hospital Pulau Pinang pada 11.30 malam juga pada 16 April lepas.

Majistret Noor Aini Yusof membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain