suria

Pemandu Bas Maut Dirempuh Kereta Ketika Seberang Jalan Untuk Bertemu Rakan

KUALA LUMPUR: Tindakan Hussin Razaly menyeberangi lebuh raya untuk bertemu rakan di Kilometer 429 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mengundang padah apabila pemandu bas itu maut dirempuh kereta kira-kira 10 malam tadi.

Hussin, 47, mati di tempat kejadian selain 'hilang' kaki kiri akibat rempuhan itu, yang dipercayai berlaku ketika dia melepasi penghadang tengah lebuh raya untuk menyeberangi jalan.

Bagaimanapun, kereta yang merempuh Hussin bertindak meninggalkan tempat kejadian dan sehingga kini, kenderaan itu gagal dikesan.

Jurucakap polis ketika dihubungi hari ini berkata kaki kiri mangsa yang putus akibat kemalangan itu, tidak ditemui di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat.

Sebelum kemalangan itu, Hussin, yang juga bekas pesara tentera, dikatakan menghentikan bas yang dinaiki 15 penumpang dari Pulau Pinang menghala Kuala Lumpur di lorong kecemasan untuk bertemu rakannya.

Bagaimanapun, tujuan mangsa mahu bertemu rakannya, yang juga pemandu bas, tidak diketahui.

Jurucakap polis itu berkata mangsa yang berasal dari Hulu Bernam, Selangor baru bekerja sebagai pemandu bas dua bulan lepas.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan gerakan memburu suspek sedang dilakukan, dan polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil membantu siasatan polis," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid mengesahkan kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain