suria

Pelayan Hotel Mengaku Salah Cabul Pesara Guru

AMPANG: Seorang lelaki yang tidak menghormati rumah ibadah tergamak mencabul seorang pesara guru yang berada di ruang solat muslimah sebuah surau di sini.

Kelakuan jelik Salahudin Hassan Sha, 23, membawa padah selepas Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, memerintahkan dia untuk membayar denda sebanyak RM2,000 bagi kesalahan tersebut.

Majistret Wan Kamariah Wan Md Abdul Ghani menjatuhkan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan salah tertuduh yang merupakan seorang pelayan hotel.

Tertuduh didakwa memicit punggung wanita berusia 64 tahun itu pada pukul 4.55 petang, 19 April lalu di surau Taman Nirwana, Ampang Jaya, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Husnita Mohd Radzi mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, dia yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman seringan-ringannya atas alasan kesempitan hidup.

"Saya juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini," tambahnya.

Noor Husnita memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh yang mengambil kesempatan terhadap seorang warga emas.

Artikel Lain