suria

SPR Tidak Berpihak Kepada Mana-Mana Parti - Abdul Aziz

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan para petugasnya sentiasa bersikap berkecuali serta profesional dalam melaksanakan perjalanan pilihan raya di negara ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini dibuktikan dalam 16 pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum 2008 di mana Barisan Nasional (BN) menang lapan kali dan lapan lagi dimenangi pakatan pembangkang.

"Kami tidak berpihak kepada mana-mana parti. Ini hanya satu persepsi. Sesiapa yang menang sebab rakyat berdasarkan sentimen pengundi itu sendiri. Kalau rakyat suka, mereka akan menang. Semua proses yang kita buat adalah mengikut undang-undang, kerana itu ejen parti kita jemput sama," katanya kepada Bernama dalam temubual di sini, Jumaat.

Beliau berkata SPR tidak pernah menolong mana-mana parti untuk menang dan sepanjang tempoh berkempen, semua calon dan parti dibenarkan berkempen dengan syarat mendapat permit.

"Apa yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, mereka cuba menunjukkan bahawa SPR tidak boleh dipercayai... jadi orang kesian kepada dia. Pembangkang kalau kalah macam-macam dia kata kepada SPR... kalau dia menang dia puji melambung, sampai takut saya," katanya.

Abdul Aziz berkata bukan sahaja pembangkang, Barisan Nasional (BN) juga sering marah kepada SPR dalam perkara berkaitan pilihan raya dan dikatakan menyebelahi calon-calon pembangkang.

"Sering kita dikatakan biarkan pembangkang buat sesuka hati, kita tidak bertegas, dan kita tidak ambil tindakan terhadap tindakan-tindakan tertentu parti pembangkang," katanya.

Kata Abdul Aziz, beliau sendiri sebagai Pengerusi SPR tidak pernah meminta petugas SPR supaya memihak kepada mana-mana parti dan membuat program bagi orang tertentu.

Sementara itu, beliau berkata tindakan SPR tidak membenarkan Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel) menjadi badan pemerhati bebas untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 adalah kerana Mafrel gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

"Saya nak panggil balik Mafrel untuk pilihan raya Sarawak kali ini. Kami letakkan syarat tidak boleh buat kenyataan media dan tidak berpihak kepada mana-mana parti tetapi mereka tak mampu beri jaminan boleh control (kawal)ahli-ahli mereka.

"Kita lantik mereka sebagai pemerhati... jadi tak boleh buat kenyataan akhbar. Kalau ada apa-apa laporkan kepada SPR. Ini tidak, mereka pula lebih daripada SPR," katanya.

Beliau berkata Mafrel berdaftar dengan Pendaftar Syarikat (ROC) sebagai Mafrel Sdn Bhd dan apabila dilihat nama-nama dalam Mafrel, mereka adalah orang yang aktif dalam parti-parti politik tertentu.

"Bila mereka tak dapat buktikan mereka tidak berpihak mana-mana, jadi kita buat keputusan tak boleh gunakan khidmat mereka. "Dulu pada pilihan raya kecil Hulu Selangor, mereka minta SPR ambil tindakan apabila Perdana Menteri umum bantuan kerana mendakwa menyalahi peraturan pilihan raya tetapi bila Menteri Besar Selangor buat benda yang sama, mereka diam," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain