suria

Polis Tunggu Laporan Kimia Dan Patalogi Ahmad Sarbani

KUALA LUMPUR: Polis kini menunggu laporan kimia dan patalogi bagi menyiapkan kertas siasatan kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Wilayah di Jalan Cochrane pada 6 April lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata siasatan kes kini pada peringkat terakhir sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pendakwa raya minggu depan.

"Laporan kimia dijangka diperoleh Isnin ini, manakala laporan patologi hasil lakonan semula dua hari lepas di pejabat SPRM juga dijangka diperolehi minggu depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara keagamaan di tokong Buddhist Mahavira, di sini Jumaat.

Beliau berkata polis masih menyiasat kematian Ahmad Sarbani Mohamed sebagai kes mati mengejut dan sehingga kini seramai 42 orang termasuk anggota keluarga mangsa, pegawai SPRM dan Kastam Diraja Malaysia sudah diambil keterangan.

Ditanya mengenai lakonan semula di pejabat SPRM dua hari lepas, beliau berkata ia adalah sebahagian daripada siasatan untuk melihat dengan lebih jelas dan secara visual bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Dalam lakonan semula itu, pelakon lagak ngeri diminta membuat beberapa terjunan bagi mengenal pasti bagaimana Ahmad Sarbani terjatuh dari tingkat tiga bangunan tersebut.

Bagi memastikan ketepatan, polis bukan saja memilih pelakon lagak ngeri yang mempunyai berat sama dengan mangsa tetapi juga dipakaikan dengan kemeja dan seluar yang sama dengan mangsa pada hari kejadian.

Sebanyak empat terjunan dengan pelbagai posisi dilakukan dan dirakam menggunakan empat kamera dari pelbagai sudut.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan pejabat SPRM itu setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai kastam. -BERNAMA

Artikel Lain