suria

Penafian Raja Petra Buktikan Kebenaran Selama Ini, Kata Najib

LAWAS: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengakuan Raja Petra Kamaruddin semalam yang menafikan pembabitan Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu menunjukkan kebenaran selama ini telah terbukti.

Najib berkata walaupun secara peribadi beliau selama ini menganggap isu itu sudah tutup namun pengakuan pengendali portal berita Malaysia Today itu dapat membuktikan ia ditimbulkan semata-mata untuk menjatuhkan imej beliau dan isterinya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Seri Malaysia Lawas dan upacara pecah tanah projek Hospital Baru Lawas di sini, Perdana Menteri berkata kenyataan Raja Petra telah mendedahkan wujudnya cubaan daripada pihak tertentu untuk menghalang beliau daripada menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Raja Petra dalam satu temu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3 Datuk Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini yang disiarkan di Buletin Utama TV3 malam Khamis.

Dalam temu bual itu, Raja Petra mendedahkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib daripada menjadi Perdana Menteri.

Menurut Raja Petra, beliau sendiri tidak pernah menuduh Najib mahupun Rosmah terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu dan beliau kini tidak lagi mempercayai cerita individu berkenaan.

Katanya individu berkenaan mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mereka mendesak tindakan itu diambil bagi menyekat Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu akan meletakkan jawatan.

Raja Petra turut mendedahkan individu yang memberinya maklumat berkenaan terdiri daripada Nik Azmi Nik Daud, John Pang dan penulis blog Din Merican, selain seorang pegawai perisik angkatan tentera yang dikenali sebagai Kolonel Azmi Zainal Abidin juga memberi maklumat sama.

Ketika ditanya sama ada beliau mengenali individu yang disebut Raja Petra, Najib berkata: "Ada yang saya kenal, ada yang tidak."

Mengulas lawatan sehari suntuk beliau ke kawasan utara Sarawak khususnya di bahagian luar bandar hari ini, Najib berkata sentimen yang ditunjukkan oleh rakyat yang ditemuinya meyakinkan beliau bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang amat baik untuk memenangi pilihan raya negeri ini.

Bagaimanapun, Najib menasihatkan calon-calon BN yang bertanding untuk menggunakan baki tempoh berkempen yang ada untuk terus menyakinkan lagi pengundi di kawasan masing-masing agar menyokong mereka.

Pengerusi BN itu turut menolak dakwaan terbaru pembangkang tentang keyakinan mereka untuk memenangi sekurang-kurangnya 25 kerusi dalam pilihan raya negeri kali ini sebagai tidak berasas.

Katanya dakwaan itu hanyalah taktik perang psikologi pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10, apatah lagi jumlah kerusi itu tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan.

Dalam lawatan seharinya, Perdana Menteri sempat singgah di bandar Marudi di daerah Baram, kawasan perkampungan tanah tinggi Bario dan Ba'Kelalan, sebelum ke Lawas.

Najib meneruskan lawatan rasmi beliau ke bandar Limbang untuk merasmikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Tedungan serta melakukan kunjungan mesra di Pasar Tamu Limbang sebelum kembali ke Miri. - BERNAMA

Artikel Lain