suria

SPAD Beri Amaran Keras Terhadap Ulat Tiket

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak akan bertoleransi terhadap ulat tiket yang cuba beroperasi di Hentian Puduraya apabila ia dibuka kepada orang ramai pada Sabtu ini.

Ketua Operasi Negeri dan Perlesenan Terminal SPAD, Mohd Fuad Ahmad menegaskan, pihaknya akan menguatkuasakan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Seksyen 205 untuk menangani masalah kewujudan ulat tiket.

"Mana-mana yang didapati bersalah dan menjadi perayu atau ulat tiket boleh dikenakan tindakan mahkamah dan kalau didapati bersalah, boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan media ke Hentian Puduraya yang selesai dinaiktaraf di sini, Khamis.

Beliau mengulas kewujudan ulat tiket yang 'menghantui' hentian bas berkenaan sejak sekian lama sebelum ia ditutp bagi tujuan naik taraf.

Mohd Fuad memberitahu, SPAD akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memastikan masalah ulat tiket tidak timbul di hab moden itu.

Katanya, kerjasama rapat antara SPAD dan pihak berkuasa tersebut berjaya mengatasi masalah ulat tiket di Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS).

"Memang terdapat kes-kes ulat tiket di Bukit Jalil mula nak masuk TBS-BTS telah dapat ditangkap. Insya-Allah, SPAD dan pihak berkuasa akan 'berperang' habis-habisan di Hentian Pudu Raya.

"Pegawai penguat kuasa ditempatkan di tempat tempat strategik bagi memantau kehadiran ulat tiket," katanya.

Sementara itu, Mohd Fuad berkata, SPAD berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak wujud lagi kaunter jualan tiket di seberang jalan Hentian Pudu Raya kerana premis tersebut tidak dilesenkan untuk menjual tiket.

Tegasnya, hanya tiket-tiket dijual dalam terminal dibenarkan dan semua pengusaha bas diarahkan mematuhi arahan itu.

"Pengusaha-pengusaha bas memerlukan pas untuk menjual tiket dan mereka tidak dibenarkan membuat pengumuman di terminal bas," katanya yang turut mencadangkan UDA Mall untuk mendapatkan polis bantuan bagi mengelakkan orang ramai ditipu dan dikenakan caj berlebihan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain