suria

Perkasa Lantik Usahawan Jadi Bendahari Gantikan Shuaib Lazim

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mengumumkan pelantikan Dr Marzuki Ibrahim sebagai bendaharinya yang baru menggantikan Datuk Shuaib Lazim.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan berkata Shuaib digantikan kerana masalah kesihatan. Beliau berkata Irwan Fahmi Ideris pula dilantik sebagai Ketua Wira Perkasa yang baru menggantikan Arman Azha Abu Hanifa yang meletak jawatan baru-baru ini.

Irwan Fahmi sebelum ini menyandang jawatan Naib Ketua Wira Perkasa.

"Bagi jawatan Ketua Wiranita Perkasa pula, Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin dilantik memegang jawatan itu menggantikan Raihan Sulaiman yang mengosongkan jawatannya," menurut kenyataan itu.

Selain itu, beliau berkata Shariffudin Abdul Hamid pula dilantik sebagai Yang di-Pertua Perkasa Wilayah Persekutuan yang baru menggantikan Datuk Mokhtar Samad yang sibuk dengan tugasnya sebagai Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

"Kesemua lantikan ini dibuat dalam mesyuarat Perkasa Pusat malam ini," menurutnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain