suria

Peniaga Kad Isi Semula Telefon Bimbit Di Rumah Kongsi Disamun Warga Asing

KUANTAN: Seorang peniaga kad isi semula talian telefon bimbit yang berurus niaga di sebuah rumah kongsi warga asing di Kota Gelanggi, dekat Jerantut, bernasib malang selepas dia disamun dan dicederakan.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Insp Hazuriana Mat Hussin berkata, peniaga berusia 18 tahun itu disamun tiga lelaki warga asing selepas berurus niaga di rumah kongsi berkenaan.

"Dalam perjalan pulang dari situ kenderaan mangsa telah ditahan tiga warga asing berkenaan sebelum mangsa disamun," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Dalam kejadian malam Rabu lepas itu, mangsa kerugian lebih RM20,000 selepas tiga suspek terbabit merampas kad isi semula talian telefon bimbit yang bernilai RM10,000, wang tunai RM10,000 serta telefon bimbit mangsa.

"Mangsa turut ditoreh pada bahagian muka dan tangan dengan pisau," katanya. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis sebelum dua daripada suspek terbabit yang berusia 22 dan 27 tahun berjaya diberkas.

"Seorang lagi suspek masih bebas dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain