suria

Lembaga Penduduk Cadang Tambah Bilangan Pusat Keluarga Bergerak

SANTUBONG: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) merancang untuk menambah bilangan Pusat Keluarga Bergerak (PKB) di Sarawak bagi memberi kemudahan khidmat kesejahteraan keluarga dan pemeriksaan kesihatan kepada rakyat khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN, Dr Anjli Doshi Gandhi berkata, perkara itu masih dalam perancangan pihaknya memandangkan pengubahsuaian PKB iaitu bas yang direka khas bertujuan memberi perkhidmatan kepada golongan berpendapatan rendah memakan tempoh masa lama.

"Kita mungkin akan menjalin kerjasama bersama syarikat terkemuka dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mengubahsuai bas itu. Sebagai permulaan, sebuah bas diserahkan terlebih dahulu sebelum ia ditambah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan PKB 1Malaysia di Kampung Pasir Pandak di sini, Jumaat.

Menurut beliau, setakat ini LPPKN sudah menyerahkan enam buah bas iaitu masing-masing satu di Sabah dan Sarawak manakala empat lagi di Semenanjung Malaysia.

"Antara perkhidmatan yang ditawarkan PKB ialah perancang keluarga, pemeriksaan payudara, ujian 'pap smear', kaunseling, ujian darah glukosa dan kolestrol serta pendaftaran untuk subsidi mammogram.

"Ia juga mudah diakses oleh golongan yang tinggal di kawasan pendalaman. Mereka sukar mendapat kemudahan kesihatan yang baik dan perlu diberi kaunseling perancang keluarga kerana mempunyai lebih daripada tujuh anak pada usia muda," ujarnya.

Sementara itu, Anjli berkata, LPPKN akan melancarkan sebuah lagi Klinik Nur Sejahtera di Miri sebagai tambahan kepada klinik sedia ada di Kuching dan Sibu yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan khasnya kanser payu dara.

"Kanser payu dara merupakan pembunuh utama wanita berusia 40 tahun dan ke atas. Dianggarkan setiap seorang daripada 14 wanita di negara ini berisiko menghidap kanser payu dara," katanya.

Artikel Lain