Rakaman Video Seks Tidak Akan Ditayang Di Parlimen - Pandikar - Semasa | mStar

Rakaman Video Seks Tidak Akan Ditayang Di Parlimen - Pandikar

KUALA LUMPUR: Rakaman video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin pembangkang tidak akan ditayang di Parlimen, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Katanya beliau tidak akan membenarkan Dewan Rakyat digunakan oleh mana-mana individu untuk kepentingan peribadi atau agenda politik.

"Pendapat saya mengenai hal ini adalah begini, iaitu sewaktu mesyuarat ahli-ahli Yang Berhormat adalah dilarang untuk menggunakan perkara-perkara yang dilarang oleh Peraturan Mesyuarat seperti unparlimentary words atau tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

"(Jika) yang itu pun tidak dibenarkan mesyuarat, macam mana saya boleh membenarkan dalam Parlimen untuk tayangan satu perkara yang pertama melanggar Peraturan Mesyuarat (dan) sengaja di bawa ke Dewan Rakyat, kedua dalam Islam itu adalah perkara yang haram.

"Jadi saya ingatkan Yang Berhormat kalau berpolitik, berpolitiklah di luar sana sewenang-wenangnya. Dalam Dewan ini kita dipandu oleh etika-etika tertentu, jangan oleh kerana kepentingan politik individu menjustifikasikan tindakan dahulu, lepas itu menggunakan wakil rakyat sebagai pelindung," katanya selepas sesi soal jawab berakhir pada persidangan Dewan Rakyat di sini Selasa.

Terdahulu Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) bangkit untuk bertanyakan pendirian Pandikar mengenai cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh semalam agar video seks itu ditayangkan di Parlimen memandangkan anggota Parlimen mempunyai imuniti yang melindungi mereka daripada sebarang liabiliti jenayah.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Sufi selamat bergelar suami Nurulain

Timbalan menteri di JPM meninggal dunia