suria

Perkasa Serah Sijil Penghargaan Kepada SPRM

PUTRAJAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyerahkan sijil penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas usaha badan itu memerangi rasuah sehingga membawa kepada penangkapan 62 pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) baru-baru ini.

Sijil penghargaan itu diserahkan Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali kepada Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali di ibu pejabat SPRM di sini, Isnin.

Syed Hassan berkata Perkasa teruja dengan usaha yang dilaksanakan SPRM dan berharap ia akan terus membongkar sebarang penyelewengan yang berlaku di mana-mana jabatan.

"Perkasa berharap supaya SPRM akan pergi mana-mana jabatan dan agensi kerajaan lain untuk terus membongkar lagi supaya negara tidak akan rugi, yang sepatutnya boleh bina macam-macam prasarana kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan itu.

Sabtu lepas SPRM memaklumkan telah menahan 62 pegawai KDRM menerusi Operasi 3b kerana dipercayai terbabit dalam rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Bagaimanapun Syed Hassan berkata Perkasa tidak mahu menganggap apa yang terbongkar itu dianggap sebagai kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara ketika ini.

"Parti manapun yang memerintah yang melakukan kerja-kerja seperti ini yang membabitkan pegawai-pegawai kerajaan, tidak semestinya parti yang memerintah itu yang melakukan penyelewengan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain