suria

Kerajaan Tawar Lebih 140,000 Tempat Untuk Lepasan SPM Lanjut Pengajian Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan 140,140 tempat untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pelbagai peringkat pengajian tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata jumlah itu meliputi kursus asasi (16,640 tempat), diploma institusi pengajian tinggi awam (23,000), diploma politeknik (51,000), sijil kolej komuniti (11,000) dan sijil institusi latihan kemahiran awam (38,500).

"Kita sedang mengarusperdanakan pengajian di bidang diploma," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara ke-7, "Jom Masuk U" 2011 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, Sabtu.

Mohamed Khaled berkata langkah itu bagi menghasilkan 679,977 pekerja mahir berkelulusan diploma yang diperlukan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara menjelang 2020.

Bagi menggalakkan penyertaan dalam pengajian peringkat diploma, beliau berkata tempoh pengajian akan dipendekkan kepada dua tahun setengah bagi pelajar cemerlang berbanding tiga tahun.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataannya semalam, Mohamed Khaled berkata langkah mewajibkan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar mengambil peperiksaan kelayakan bahasa Arab adalah atas kehendak universiti tersebut.

Kaedah baru itu katanya, diperkenalkan universiti berkenaan kerana ramai pelajar Malaysia tidak dapat menyempurnakan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan kerana penguasaan bahasa Arab yang lemah.

Semalam, Mohamed Khaled dilapor berkata mulai tahun depan semua pelajar Malaysia yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang itu di universiti terkemuka Mesir tersebut wajib menduduki peperiksaan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain