suria

Bunga Api Ditemui Di Rumah Pegawai Kastam Diberkas SPRM

KUANTAN: Polis Pahang menemui 200 kotak bunga api dan 20 kotak rokok dalam rumah sepasang pegawai kanan kastam yang diberkas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada Isnin lepas.

Pihak polis bertindak melakukan pemeriksaan di rumah pasangan berkenaan pada hari yang sama selepas mereka ditahan Pasukan Tindakan Khas diketuai oleh SPRM kerana didakwa melakukan rasuah.

"Nilai sebenar bunga api dan rokok yang dirampas itu masih dalam siasatan," kata sumber itu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan dan Perundangan Pahang Supt Mohd Haris Daud ketika ditemui pemberita di sini, mengesahkan perkara berkenaan, tetapi enggan mengulas lanjut.

Pasangan suami isteri itu ditahan dalam serbuan melibatkan lebih 100 syarikat dan orang perseorangan secara serentak pada Isnin lepas. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain