suria

Suruhanjaya Siasatan TBH: SPRM Tak Perlu Waran Untuk Geledah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak semestinya memerlukan satu notis perintah dikeluarkan untuk seseorang saksi memberikan kerjasama dalam siasatan yang dilakukan terutamanya yang melibatkan jabatan kerajaan.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishamuddin Hashim berkata, perkara itu merupakan amalan badan berkecuali tersebut, apatah lagi terdapat pekeliling am sulit telah dikeluarkan yang mewajibkan semua ketua jabatan kerajaan untuk memberikan kerjasama.

"Justeru itu, kami tidak memerlukan notis geledah jika berurusan dengan jabatan kerajaan," tambah beliau yang dipanggil sebagai saksi ke-26 dalam prosiding suruhanjaya siasatan kematian Teoh Beng Hock.

Hishamuddin dipanggil ekoran beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengarah SPRM Selangor semasa Teoh, yang merupakan pembantu politik ditemui mati beberapa jam selepas hadir ke pejabat SPRM pada dua tahun lalu.

Mayat Teoh, 30, ditemui pada 16 Julai 2009 dan dia dipercayai jatuh daripada tingkap pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini.

Mendiang diminta hadir untuk dirakamkan percakapan berkaitan siasatan yang dijalankan oleh SPRM mengenai penyalahgunaan wang peruntukkan terhadap majikannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Menurut Hishamuddin, seorang ADUN dianggap sebagai pegawai kerajaan dan tambah beliau, sepanjang tempoh berkhidmat di Selangor dari tahun 2002 hingga 2010 tiada masalah dihadapi dengan pejabat kerajaan.

Bagaimanapun, menurut Hishamuddin, beliau dimaklumkan oleh pegawainya iaitu Mohd Anuar Ismail bahawa berlaku halangan semasa mereka cuba mendapatkan dokumen yang berkaitan di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor.

"Mohd Anuar memberitahu bahawa Ean enggan memberi kerjasama dan mempertikaikan kehadiran pegawai SPRM dan meminta notis geledah serta membawa ramai wartawan untuk menyaksikan penggeledahan," tambahnya.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen kemudiannya bertanyakan tindakan yang akan diambil oleh SPRM sekiranya saksi enggan memberikan kerjasama.

"Adakah kamu akan pergi mangambil surat perintah? atau datang dengan senjata dan merampas? Apakah tindakan kamu," katanya. Hishamuddin menjawab, pendekatan yang digunakan oleh SPRM adalah pendekatan berhemah terutamanya apabila berurusan dengan jabatan kerajaan manakala badan korporat atau antarabangsa cenderung meminta notis perintah untuk memahami tugas SPRM.

"Saya juga boleh mengeluarkan notis perintah. Saya diberikan kuasa secara lisan dan dimaklumkan oleh Pengarah Badan Perundangan," katanya.

Saksi yang merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menambah, peruntukkan undang-undang mewajibkan seseorang untuk memberikan kerjasama kepada SPRM.

Pada prosiding Selasa, James turut memaklumkan bahawa suruhanjaya berasa positif dapat menamatkan prosiding pada tarikh yang ditetapkan, iaitu pada 25 April depan.

Bagaimanapun, James memutuskan supaya prosiding berjalan sehingga 18 April depan untuk memberikan masa kepada pihak-pihak berhujah dan bagi tujuan itu, suruhanjaya berkemungkinan akan bersidang pada hujung minggu.

Prosiding pada Sabtu dan Ahad juga akan dimulakan pada minggu ini apabila pakar forensik dari Thailand, Dr Pornthip Rojasunan yang dilantik oleh Kerajaan Selangor akan hadir memberikan keterangan.

Prosiding suruhanjaya bersambung Rabu.

Artikel Lain