suria

Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Serangan Asid

KUALA LUMPUR: Polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian serangan cecair kimia di Bangsar dan Jalan Sultan Abdul Samad baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, setakat ini, tangkapan belum dilakukan memandangkan tidak ada bukti atau saksi yang tampil menyalurkan maklumat berhubung insiden itu.

"Saya yakin pasti ada individu yang melihat kejadian tersebut memandangkan kedua-dua kejadian berlaku di lokasi awam, justeru, kita minta saksi agar tampil memberikan maklumat kepada polis.

"Sehingga kini, belum ada lagi suspek yang dikenal pasti dan kesemua mangsa sendiri tidak dapat membantu banyak kerana mereka sendiri masih trauma dan hilang fokus akibat kejadian yang menimpa," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Pada 24 Mac lalu, Eksekutif Pemasaran Ruhainah Husin, 30, melecur di muka dan bahu selepas disimbah sejenis cecair kimia di depan sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Bangsar manakala rakan sekerjanya cedera ringan.

Esoknya, seorang guru cedera selepas disimbah cecair yang sama di luar sebuah sekolah rendah berhampiran Jalan Sultan Abdul Samad di sini pada jam 7 pagi oleh dua lelaki bermotosikal.

Ditanya sama ada kedua-dua kejadian dipercayai dilakukan oleh suspek yang sama, Wan Abdul Bari berkata, perkara itu tidak dapat disahkan kerana sasaran dan lokasi yang berlainan.

Selain itu, katanya, motif serangan kedua-dua insiden juga tidak dapat dipastikan.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja sebanyak 10 kes serangan cecair kimia dilaporkan di sekitar Lembah Klang dan dua daripadanya berlaku di daerah Brickfields.

"Rondaan dan kawalan, terutamanya di sekolah-sekolah dan kawasan-kawasan lain, dipertingkatkan dan kita minta orang awam, jika terlihat individu yang mencurigakan, agar menghubungi mana-mana balai polis atau IPD (Ibu pejabat Polis Daerah) Brickfields di talian 03-90516222 atau 03-90571086 dengan segera," katanya.

Artikel Lain