suria

Dasar Kerajaan Kini Menjurus Kepada Pengurusan Nilai:Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan bahawa dasar kerajaan kini menjurus kepada pengurusan yang mementingkan nilai dalam melaksanakan agenda negara.

Perdana Menteri berkata kaedah pengurusan nilai itu perlu diterapkan dalam semua pengurusan projek kerajaan bermula daripada peringkat awal lagi dan ia perlu menjadi alat pengurusan bagi mencapai nilai untuk wang.

"Kita perlu menyoal andaian yang ada, adakah terdapat kaedah atau cara yang lebih baik untuk mendapat pulangan optimum kepada perbelanjaan kerajaan.

"Ada banyak contoh di mana perbelanjaan kerajaan berjaya dijimatkan dengan pengurusan nilai. Ia seharusnya merangkumi pra dan pasca projek termasuklah pemilihan lokasi, rekayasa dan reka bentuk sehingga pemilihan bahan pembinaan yang bersesuaian," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini, Selasa.

Najib berkata misalnya semasa lawatan beliau ke Sarawak baru-baru ini, pendekatan melaksanakan projek berimpak tinggi dengan kos yang munasabah telah digunakan dengan jayanya bagi menyelesaikan masalah penduduk.

Contohnya, beliau berkata, jalan penghubung di Ba'kelalan yang sekiranya dilaksanakan melalui kaedah biasa akan memerlukan peruntukan sebanyak RM400 juta, tetapi dapat dilaksanakan dengan kos RM50 juta sahaja.

"Perkara ini telah dapat dilakukan dengan menggunakan kaedah Program 'Jiwa Murni' Kor Jurutera Angkata Tentera Malaysia yang menggembleng tenaga anggota tentera untuk membina jalan dan peruntukan hanya disediakan untuk pembelian bahan serta menyewa jentera.

"Apa yang mustahak adalah sesuatu khidmat atau projek itu mestilah diacuankan bagi memenuhi keperluan serta kehendak setempat tanpa berkompromi dengan piawai yang sewajarnya dan mustahaknya rakyat dapat menerima manfaat dengan segera," katanya.

Najib berkata selain Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, kerajaan bercadang memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai pegawai awam yang bukan sahaja berupaya menunjukkan mutu kerja tinggi tetapi mampu bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan yang boleh mengharumkan nama organisasi, rakyat dan negara.

Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti di sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan itu, katanya.

Bagi mengubah tanggapan bahawa perkhidmatan awam kini bersaiz agak besar, Perdana Menteri berkata kerajaan perlu mewujudkan "perkhidmatan awam yang kejap" iaitu mempunyai saiz penjawat awam mantap, digembleng sepenuhnya untuk beroperasi ke arah mencapai matlamat perkhidmatan.

Sejajar dengan matlamat Program Transformasi Kerajaan ke arah perkhidmatan awam yang kejap dalam jangka panjang, kajian terperinci ke arah merasionalisasikan perkhidmatan awam akan dilaksanakan.

Ia bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan-jawatan kosong dan pemansuhan jawatan serta pengagihan semula perjawatan ke agensi yang lebih kritikal, katanya.

Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk kumpulan pengurusan tertinggi, Najib berkata satu kaedah akan diwujudkan di bawah kajian semakan Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk menamatkan perkhidmatan pegawai itu.

Selepas majlis itu, beliau melancarkan buku yang ditulisnya berjudul Perkhidmatan Awam : Meneraju Perubahan - Melangkau Jangkaan.

Buku itu, yang ketiga ditulis oleh Perdana Menteri dan diterbitkan oleh Razak School of Government dan Institut Terjemahan Negara Malaysia, didedikasikan kepada penjawat awam seluruh negara khusus bagi membangkitkan semangat mereka untuk bersama-sama kerajaan menjayakan transformasi yang bermatlamatkan pencapaian Wawasan 2020.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain