Dakwaan SPR Pindah Pengundi Jauh Dari Pusat Pengundian Asal Tidak Benar - Semasa | mStar

Dakwaan SPR Pindah Pengundi Jauh Dari Pusat Pengundian Asal Tidak Benar

KUALA LUMPUR: Dakwaan yang mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan pusat mengundi jauh daripada pusat pengundian asal pengundi adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata ini kerana SPR membetulkan daftar pengundi dalam 'Master Indeks Daftar Pemilih' yang salah ke bahagian pilihan raya yang sebenar dan kemudian melaksanakan urusan pensempadanan semula daerah mengundi.

Setelah urusan itu selesai, pengundi akan mengundi di bahagian pilihan raya yang sebenar iaitu lebih dekat dengan kediaman mereka.

"Apabila urusan pensempadanan semula daerah mengundi dilaksanakan, pusat mengundi baru akan diwujudkan bagi daerah mengundi baru itu dan pada kebiasaannya ia akan lebih selesa dan lebih dekat dengan kediaman pengundi.

"Oleh itu dakwaan yang mengatakan pengundi dipindahkan ke tempat yang jauh adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah," katanya menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Kok ingin tahu mengapa SPR memindahkan pengundi ke pusat pengundian yang jauh daripada pusat pengundian asal mereka yang mencetuskan kekeliruan di kalangan pengundi.

Ketika menjawab soalan Kok sama ada SPR memaklumkan kepada pengundi yang akan dipindahkan pusat pengundiannya, Liew berkata maklumat itu akan dihantar kepada pemimpin parti politik di kawasan terlibat dan mereka dipertanggungjawab untuk memaklumkan perkara itu kepada pengundi terlibat.

Menjawab soalan Datuk Wilfred Bumburing (BN-Tuaran) mengenai syarat persempadanan semula, Liew berkata ia tertakluk kepada bilangan pengundi dan kemudahan pusat mengundi di kawasan berkenaan.

"SPR akan pastikan kawasan yang terlibat dalam persempadanan semula ini mempunyai infrastruktur yang lengkap sebelum keputusan dibuat selain mendapatkan reaksi pengundi dan akan jalankan siasatan jika terdapat bantahan daripada pengundi," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain