suria

Tiga Wanita Sertai Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Tiga wanita telah dipilih untuk menyertai Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan menyertai sepuluh ahli jawatankuasa lain termasuk pengerusinya, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penyertaan tiga wanita itu untuk sesi 2010-2013 itu dilihat mampu membantu jawatankuasa itu mengeluarkan pandangan bernas terutamanya hal berkaitan dengan kaum wanita di negara ini.

"Populasi wanita di Kuala Lumpur melebihi populasi kaum lelaki, oleh itu pelantikan tiga wanita itu dilihat dapat memberikan tambah nilai terutamanya dalam menangani isu berkaitan wanita," katanya selepas Majlis Penyampaian Surat Pelantikan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persektuan di sini, Khamis.

Tiga ahli dalam jawatankuasa wanita itu adalah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Siti Rugayah Tibek, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Madya Datin Dr Noor Naemah Abdul Rahman dan Datin Nik Ismah Abdul Rahman.

Jamil Khir berkata, pemilihan ke semua mereka tepat berdasarkan latar belakang yang kukuh dalam bidang agama dan syariah selain berpengalaman luas dalam bidang akademik.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelantikan Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan, Jamil Khir berharap barisan jawatankuasa itu bukan sahaja dapat mengendalikan masalah hukum dalam konteks biasa tetapi juga melihat secara menyeluruh aspek lain yang boleh membangunkan umat Islam di negara ini melalui pandangan dan kajian mereka.

"Kita perlu melihat bagaimana persoalan hukum syarak itu diselaras dan sesuai dengan suasana semasa seperti kepadatan penduduk di Kuala Lumpur.

"Saya mahu melihat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjadi contoh kepada majlis agama lain di seluruh negara bukan sahaja melalui aspek pembangunan modal insan tetapi juga pembangunan fizikal seperti masjid dan surau," katanya.

Ahli jawatankuasa lain adalah Wan Zahidi sebagai pengerusi, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Mamat Said, Pensyarah Kuliah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Mahamad Ariffin, Pensyarah Jabatan Usuludin dan Falsafah UKM, Profesor Dr Mohd Nasir Omar dan Profesor Zakaria Setapa, wakil Istana Negara, Abdul Aziz Che Yacob, Pensyarah Jabatan Usuludin dan Perbandingan Agama UIAM, Wan Sabri Wan Yusof, Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abd Rahman Yusof, Wan Halim Wan Harun dan Tan Sri Sheikh ghazali Abdul Rahman.

Artikel Berikut

Artikel Lain