suria

Pengurus Kilang Ditemui Mati Dalam Keadaan Mulut, Kaki Dan Tangan Diikat

SERDANG: Seorang pengurus kilang ditemui mati dengan mulut, tangan dan kakinya diikat dengan kain di salun kecantikan milik isterinya di tingkat satu bangunan rumah kedai di Taman Puncak Jalil di sini, malam tadi.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Manogaran, 42, itu ditemui dalam keadaan terlentang di lantai premis berkenaan oleh isterinya selepas pulang dari menghantar anak tunggal mereka ke kelas tuisyen pada pukul 8.30 malam.

Siasatan awal polis mendapati lelaki yang juga jurulatih mempertahankan diri itu turut menjalankan pelbagai perniagaan dan premis berkenaan juga dijadikan tempat tinggal keluarganya dan tempat latihan mempertahankan diri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd Razak Elias berkata, berdasarkan keadaan fizikal lelaki itu yang tegap dan kecederaan yang dialaminya, polis percaya dia diserang oleh tiga orang.

"Kami percaya mangsa tidak dipukul dengan senjata kerana hanya hidung dan mulut mangsa keluar darah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Jumaat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati telefon bimbit milik mangsa dan sejumlah wang tunai hilang.

Mayat lelaki itu di hantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain