suria

Calon BN Di Merlimau Lancar Facebook Untuk Dekati Pengundi

JASIN: Empat hari menjelang pengundian, calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Roslan Ahmad hari ini melancarkan akaun Facebook peribadi dalam usahanya mendekati masyarakat.

Roslan, 44, yang sentiasa diiringi isteri Zalifah Omar yakin menerusi cara itu masyarakat setempat dapat meluahkan aduan terhadap sebarang permasalahan kepada beliau dengan pantas.

"Saya melancarkan Facebook untuk membolehkan pengunjung rakan-rakan Facebook yang berminat mengetahui aktiviti sepanjang tempoh berkempen terutama golongan belia yang aktif menggunakan media baru itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan laman sosial yang menggunakan nama akaun 'Roslan Ahmad' serta bersarapan pagi bersama kira-kira 20 wakil media di kediamannya di Jalan Batu Gajah, di sini.

Anak kepada bekas anggota DUN Sungai Rambai itu yang segak berbaju biru muda dengan logo 1Malaysia berkata beliau mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada masyarakat termasuk berbentuk kritikan dan teguran.

"Dengan itu saya dapat bertemu dengan lebih ramai pengundi di samping berkomunikasi dengan mereka," katanya yang opitimis pendekatan secara peribadinya sepanjang kempen mampu meningkatkan popularitinya pada kalangan pengundi.

Sebagai anak jati Merlimau, Roslan berkata beliau memahami keperluan dan aspirasi rakyat serta berusaha belajar untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik khususnya sebagai ahli majlis Perbandaran Jasin sejak 2001.

Beliau juga berjanji akan menjawab segala kritikan dan komen di facebooknya sebagai sebahagian usaha untuk memahami permasalahan di kalangan mereka di samping menyampaikan pesanan kepada mereka.

Mengenai perkembangan sepanjang hari keempat berkempen, Roslan berkata beliau telah menemui kira-kira 70 peratus pengundi dan akan terus menjelajah ke seluruh Merlimau selain ceramah serta program yang diatur bersama pemimpin tertinggi BN.

Sementara itu, isterinya Zalifah berkata meskipun rutin seharian beliau dan anak-anak kini jauh berbeza sejak Roslan menjadi calon BN, namun sokongan penuh tetap diteruskan bagi memastikan kemenangan BN.

"Saya tidak pernah berasa beban, sebaliknya yakin kepercayaan yang diberikan kepada suami untuk menjadi calon BN bagi pilihan raya kecil ini sebagai amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin," kata ibu kepada empat cahaya mata yang berusia antara usia empat dan 11 tahun itu.

Sementara itu, seorang warga emas yang berkunjung ke kediaman Roslan, Maah Wot, 77, berkata beliau yang pernah menjadi anak didik kepada Allahyarham bapa Roslan akan tetap menyokong BN sebagai parti yang sentiasa membela nasib masyarakat setempat.

"Kita selama-lamanya di Batu Gajah walaupun bapanya sudah tiada lagi...kita tidak akan mengubah selera kerana sampai sekarang anak-anak di sini mendapat faedah...saya suka Roslan...kita tidak boleh ubah hidup sampai mati (lambang)dacing akan kita pangkah selama-lamanya untuk hidup aman damai," katanya yang tidak pernah melepaskan peluang mengundi sejak pilihan raya diadakan di negara ini.

Sejurus selepas itu, Roslan dan isteri menziarahi jenazah rakan sekampungnya Ali Bashah yang meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi di Kampung Kilang Berapi di sini.

Turut menziarahi jenazah Allahyarham ialah calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain