suria

Rakaman Video Bukti Polis Tidak Aniaya Anggota Hindraf - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Pihak polis mempunyai rakaman video sebagai bukti untuk menyangkal dakwaan bahawa wujud penganiayaan oleh polis terhadap anggota Hindraf yang ditahan dalam demonstrasi haram pada Ahad, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, rakaman video itu menunjukkan bahawa layanan yang diberikan terhadap mereka adalah cukup baik daripada segi makanan, minuman dan sebagainya.

"Semalam, saya difahamkan ada tuduhan bahawa kita (polis) menganiaya pihak mereka yang ditahan, tidak diberi makan.

"Jika ada mana-mana pihak menuduh pihak polis tidak perikemanusiaan atau menganiaya mereka yang ditahan dengan tidak membenarkan mereka makan, kita mempunyai cukup bukti yang kukuh untuk menafikannya," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Program Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turun ke negeri-negeri, di sini, Isnin.

Semalam, polis menahan 109 orang termasuk lapan pemimpin kanan kumpulan tidak berdaftar Hindraf dan Parti Hak Asasi Manusia (HRP) kerana dipercayai menganjurkan demonstrasi haram di beberapa lokasi strategik di ibu negara, antara lain bagi mendesak pengharaman novel Interlok.

Sambil menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai senario dan landskap baru untuk menjejaskan imej polis, Hishammuddin berkata, beliau telah mengingatkan agensi penguatkuasa itu supaya sentiasa berhati-hati dalam sebarang tindakan mereka.

Beliau berkata, ini kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang sanggup menyatakan, melakukan dan menuduh apa sahaja supaya isu sensasi boleh ditimbulkan.

"Selama 20 bulan lebih kita meneliti landskap baru ini dan kita belajar daripada pengalaman kita.

"Semalam (tindakan polis terhadap mereka yang menyertai demonstrasi), saya ucap tahniah kepada Ketua Polis Negara dan anggota polis yang bertugas kerana harapan mereka (yang berdemonstrasi) untuk menunjukkan satu keadaan yang huru-hara yang kononnya kita mengasari mana-mana pihak, (tetapi) tidak ada," katanya.

Ditanya sama ada rakaman video itu akan didedahkan, Hishammuddin berkata, ia akan didedahkan bila perlu untuk membuktikan tuduhan tersebut tidak berasas.

Mengenai tindakan susulan terhadap mereka yang ditahan dalam demonstrasi berkenaan, beliau berkata: "Saya percaya mereka yang bersalah akan tetap didakwa di mahkamah. Amaran telah diberikan sekeras-kerasnya. Ini (Hindraf) merupakan satu organisasi yang haram...telah berulang kali diberi amaran jangan diteruskan (demonstrasi)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain