suria

Pengamal Media Terperangkap Dalam Lif Bangunan SUK Perak

IPOH: Sepuluh pengamal media dan tujuh tetamu yang menghadiri majlis pelancaran Dinar Emas dan Dirham Perak di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak di sini hari ini cemas apabila terperangkap kira-kira 20 minit di dalam sebuah lif.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mereka sedang menaiki lif untuk naik ke dewan makan di tingkat dua bangunan berkenaan selepas pelancaran oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pengarang laman web PerakToday, Mohd Helmi Mohd Noor, 25, berkata lif tersebut yang bergerak ke atas tiba-tiba berhenti sebelum terjatuh beberapa kali.

"Lif tersebut naik beberapa kali dan terjatuh semula tetapi pintu tidak boleh dibuka... kami cuba menghubungi kaunter pertanyaan SUK tetapi tiada jawapan kerana waktu rehat," katanya.

Jurufoto Bernama Noraini Ahmad, 37, berkata, keadaan agak mencemas kerana lif berkenaan turun naik tanpa dapat dikawal walaupun apabila suis ditekan berkali-kali.

Lif berkenaan dapat dibaiki oleh petugas penyenggaraan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Nizam Isa yang dapat dihubungi melalui telefon bimbit.

Seorang kakitangan SUK yang ditemui selepas itu berkata,, lif berkenaan yang terletak di bahagian belakang bangunan itu sering mengalami kerosakan.

Katanya, seorang kakitangan pernah terperangkap selama sejam dalam lif tersebut tahun lepas manakala beliau sendiri pernah terperangkap kira-kira 30 minit.

"Apa yang menyelamatkan saya pada masa itu ialah boleh membuat panggilan keluar melalui telefon bimbit dan menghubungi rakan-rakan di luar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain