suria

Insentif 'Tawaran Baru' Satu Pengiktirafan Kepada Bidang Perguruan – MGBM

PETALING JAYA: Insentif yang diberikan kepada guru besar dan guru cemerlang yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah di bawah 'Tawaran Baru' (Ba’iah) yang diperkenalkan oleh kerajaan disifatkan sebagai satu pengiktirafan besar kerajaan kepada perkhidmatan perguruan.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar Malaysia (MGBM), Roslan Madun berkata, pemberian insentif itu dapat menjadi dorongan kepada guru besar dan warga sekolah untuk berusaha lebih kuat bagi meningkatkan prestasi sekolah masing-masing.

"Tidak harus timbul rasa iri hati atau tidak puas hati jika tidak menerima insentif ini kerana Tawaran Baru itu terbuka kepada semua sekolah dan penilaiannya dibuat berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) yang dilakukan Jemaah Nazir," katanya kepada mStar Online di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan memberikan ganjaran Tawaran Baru kepada Guru Besar berjumlah RM18.4 juta yang merupakan salah satu inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seramai 586 guru besar atau sekolah di seluruh negara akan menerima ganjaran Tawaran Baru tersebut.

Di bawah tawaran berkenaan, setiap guru besar yang terpilih menerima insentif sebanyak RM7,500 diikuti lima peratus guru terbaik menerima RM1,800 manakala sebanyak RM900 untuk guru-guru lain sebanyak 12,141 orang di sekolah-sekolah terbabit.

Malah kerajaan turut memberikan penghargaan tambahan kepada kakitangan sokongan seramai 2,800 orang, kesemua mereka turut dianugerahkan imbuhan yang ditentukan kemudian oleh kementerian.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pembayaran ganjaran tersebut akan dibuat serta merta kerana peruntukan telah disediakan.

Beliau berkata tawaran yang sama kepada pengetua dan guru sekolah menengah akan turut diberikan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan pada bulan depan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan berkata, pihaknya berharap Jemaah Nazir yang membuat pengesahan prestasi melakukannya secara telus.

"Kita bimbang jika pemberian insentif itu dipengaruhi faktor luaran seperti disebabkan perbezaan fahaman politik dan kronisme, guru serta sekolah yang layak tidak menerima insentif itu, sebaliknya warga sekolah yang tidak layak pula menerimanya," jelas beliau.

Artikel Lain