suria

Dua Beranak Rentung Dalam Kebakaran Di Kepong Pagi Sabtu

KUALA LUMPUR: Palang besi di laluan masuk dan 'kehilangan' pengawal keselamatan yang bertugas, melambatkan usaha bomba menyelamatkan dua beranak yang akhirnya ditemui rentung dalam satu kebakaran, awal pagi Sabtu.

Ong Ean Lee, 33 dan anak perempuannya Artina Loke Xin Yu, 2, maut dalam kebakaran pada pukul 5.45 pagi yang memusnahkan kediaman mereka di Taman Sri Sinar Kepong, di sini.

Lebih menyedihkan, suami Ong, Celven Loke yang juga Ketua Bomba Sukarela bahagian Kepong dan Batu difahamkan berada di Merlimau, Melaka kerana membantu sebuah parti politik berkempen pada pilihan raya kecil di situ.

Seorang saksi, A. Ananthan memberitahu pemberita beliau ternampak pasukan bomba terpaksa memotong palang besi yang melintangi laluan masuk kerana pengawal keselamatan yang sepatutnya berkawal tidak ada di situ.

"Mereka mengambil masa kira-kira lima minit memotong palang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mangsa sebelum datang memadamkan kebakaran," katanya.

Anantha yang juga jiran kepada keluarga itu berkata beliau terdengar jeritan Ong meminta tolong kira-kira pukul 5.45 pagi.

"Mangsa menjerit memanggil 'abang' sebanyak dua kali namun selepas itu tidak lagi kedengaran suara mangsa. Saya kemudiannya keluar untuk melihat apa yang berlaku dan ternampak api sudah marak," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Othman Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.11 pagi dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang dan Sri Hartamas dengan 27 anggota dihantar ke tempat kejadian.

"Kami tiba 10 minit kemudiannya dan berjaya mengawal kebakaran setengah jam kemudian.

"Bila diperiksa terdapat dua mangsa dalam bilik utama rumah teres tersebut yang anaknya berada di tepi katil manakala ibunya berada di atas katil," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Loke yang juga anggota parti Gerakan ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata beliau hanya mendapat tahu isteri dan anak tunggalnya terkorban dalam kejadian itu pada pukul 7 pagi tadi.

"Kira-kira pukul 6.29 saya mendapat panggilan daripada jiran saya yang memaklumkan bahawa rumah saya terbakar namun tidak mengetahui bahawa anak dan isteri saya terkorban sehinggalah disahkan sendiri oleh pihak bomba," katanya.

Beliau yang kesal dengan kecuaian pengawal keselamatan juga menimbang kemungkinan mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit.

"Disebabkan tiada pengawal keselamatan menyebabkan bomba terpaksa mengambil masa untuk memotong palang tersebut," katanya.

Sementara itu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang ditemui ketika menyampaikan takziah kepada Loke di HKL, memberitahu pemberita parti tersebut akan memberi bantuan sewajarnya kepada Loke.

"Kita akan memberikan sokongan dari pelbagai segi supaya suami mangsa mampu untuk meneruskan kehidupan seperti biasa," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain