Polis Rampas Pistol, 119 Peluru Hidup Dan Dadah Dalam Serbuan Di Padang Tembak - Semasa | mStar

Polis Rampas Pistol, 119 Peluru Hidup Dan Dadah Dalam Serbuan Di Padang Tembak

GEORGE TOWN: Polis menahan sepasang kekasih dan merampas sepucuk pistol bersama 119 butir peluru hidup serta 400 gram dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Padang Tembak, di sini Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner (ACP) Gan Kong Meng berkata pasangan yang berusia dalam lingkungan 20an itu dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah ditahan dalam operasi kira-kira pukul 6.30 petang.

"Polis terpaksa memecah pintu kayu rumah berkenaan apabila lelaki terbabit dipercayai cuba melarikan diri dengan memanjat balkoni ke rumah jirannya namun berjaya ditahan polis," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah terbabit, pihaknya menemui sepucuk pistol jenis Norinco .9mm buatan China yang sedia terpasang dengan kelopak berisi peluru hidup.

Polis turut merampas dua paket plastik lutsinar dan keratan straw dipercayai mengandungi dadah jenis heroin seberat 400 gram dengan nilai dianggar lebih RM20,000 serta wang tunai berjumlah RM700, katanya.

Gan berkata lelaki terbabit juga didapati positif dadah.

Pasangan kekasih itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.

Lelaki terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 18(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru yang boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun, atau denda tidak lebih RM10,000, atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Polis Berpangkat Inspektor Bebas Tuduhan Rasuah

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.