suria

Lelaki Dikenakan Hukuman Maksimum Miliki 35,280 Liter Diesel Bersubsidi

BUTTERWORTH: Seorang pekerja syarikat pembekal minyak dikenakan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM15,000 atas kesalahan memiliki 35,280 liter diesel bersubsidi dalam 196 tong dram empat tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Th'ng Hock Peng, 45, di sini pada Jumaat.

"Kamu dikenakan hukuman maksimum setelah mengambil kira kepentingan awam kerana hasil jualan diesel itu sebenarnya adalah hak kerajaan Malaysia," katanya.

Th'ng dituduh memiliki dalam simpanan bahan api itu pada 7 September 2007 di Lot 1237, Kawasan PPC Prai Wharf, Perai, Seberang Perai Tengah dan didakwa mengikut Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam S. Supramaniam membayar denda tersebut namun memohon penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Hakim membenarkan permohonan itu.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Ahmad Abdullah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain