suria

Perkeso Jalankan Operasi Kesan Majikan Tidak Berdaftar

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan mengerahkan 1,500 pegawainya bagi mengesan majikan yang masih tidak berdaftar di bawahnya menerusi 'Ops Kesan Perkeso 2011' bermula 1 Mac ini.

Ketua Eksekutifnya K. Selvarajah berkata di bawah operasi bersepadu besar-besaran di seluruh negara itu, Perkeso tidak akan berkompromi malah tindakan undang-undang akan diambil selepas tarikh itu jika majikan masih gagal berbuat demikian.

"Ops Kesan Perkeso akan dilakukan dari pintu ke pintu selama sebulan serentak di seluruh negara.

"Justeru, majikan yang belum berdaftar diseru berbuat demikian di mana-mana 46 pejabat Perkeso dan mereka (majikan) bukan sahaja perlu mendaftar tetapi juga perlu membayar kesemua jumlah caruman pekerja mereka sebelum 1 Mac," katanya pada sidang media Ops Kesan 2011 di sini, Jumaat.

Beliau berkata jumlah majikan yang aktif mendaftar dan mencarum setakat ini agak mengecewakan iaitu hanya 340,000 majikan dan 5.5 juta pekerja.

"Kami juga akan melakukan semakan dengan majikan berdaftar kerana ada antara mereka cuma mendaftar tetapi tidak mencarumkan pekerja mereka malah ada yang cuma daftar separuh dan separuh lagi pekerja tidak didaftarkan.

"Mereka (majikan) yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja atau lebih kenalah mendaftar dan bayar caruman setiap bulan kepada Perkeso tidak kiralah pekerja itu kontrak ke, sambilan ke, harus dibayar...yang tidak kena cuma seperti pekerja luar negara, orang gaji," katanya.

Pada tahun lepas, sebanyak 4,452 majikan dikenakan tindakan undang-undang dan daripada jumlah itu 3,939 majikan dikompaun dengan jumlah RM2,342,350 atas pelbagai kesalahan seperti gagal mendaftar perusahaan, gagal mendaftar pekerja serta lewat melaporkan kemalangan.

Beliau berkata tindakan mahkamah akan dikenakan terhadap majikan yang gagal menjelaskan kompaun dan ptahun lepas, sebanyak 513 majikan didakwa di mahkamah dan jumlah denda yang dikenakan ialah RM346,730.

Selvarajah berkata Perkeso juga dalam usaha mendakwa 669 majikan lagi atas beberapa kesalahan di bawah Akta Keselamatan Sosial 1969.

Beliau berkata majikan perlu mendaftar serta mencarum pekerja mereka dengan Perkeso bagi memastikan pekerja yang layak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat mendapat perlindungan jika mengalami kemalangan.

Selvarajah berkata Perkeso juga berkerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan maklumat mengenai syarikat baru berdaftar.

Sementara itu, ditanya sama ada Perkeso akan menghantar penyata sebagai rujukan kepada pekerja seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Selvarajah berkata ia tiada rancangan berbuat demikian. "Kami dalam proses membuat satu sistem di mana mereka boleh memeriksa secara online dan kami tidak boleh berbuat seperti KWSP kerana ia agak mahal untuk mencetak semua penyata itu kerana ada lebih 10 juta pencarum," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain