suria

ADUN Penaga Peroleh Kebenaran Untuk Semakan Kehakiman

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini, berhubung permohonan semakan kehakimannya berhubung arahan untuk beliau mengosongkan Pusat Komuniti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga.

Arahan tersebut didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah Seberang Perai Utara.

Pada Khamis, Hakim (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Rohana Yusuf memberi kebenaran tersebut selepas berjumpa dengan peguam-peguam Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Mohd Zaharudeen Harun dan Peguam Kanan Persekutuan Haryati Ahmad yang mewakili responden dalam permohonan tersebut.

Rohana turut membenarkan permohonan Azhar untuk mendapatkan perintah agar semua prosiding yang terlibat ditangguhkan sehingga semakan kehakiman itu selesai didengar.

Beliau menentapkan pendengaran semakan tersebut pada 11 Mei depan.

Azhar memfailkan permohonan tersebut pada 19 November 2010 dengan menamakan pejabat daerah dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai responden dalam permohonan semakannya.

Beliau yang juga ADUN Penaga yang bertanding atas tiket Barisan Nasional memohon deklarasi bahawa arahan yang dikeluarkan oleh pejabat daerah itu sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.

Permohonan itu dibuat atas alasan ia dilakukan dengan niat jahat (mala fide) dan berdasarkan agenda politik.

Berdasarkan rekod mahkamah, Azhar yang menjadi ADUN sejak 1990, mendakwa terdapat perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat pada 2005 untuk membina pusat komuniti yang dikenali sebagai Pusat Komuniti Kadun Penaga.

Dalam afidavit yang diikrarkan beliau pada 13 Disember lalu, beliau mendakwa pusat itu dibina pada tanah milik Kerajaan Negeri manakala Kerajaan Pusat memberi peruntukkan RM245,000.

Beliau menambah, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pusat itu akan digunakan oleh ADUN Penaga yang dilantik, tanpa mengambil kira pegangan politik.

Dalam saman tersebut, Azhar mendakwa, pusat itu mula beroperasi pada 2006 dan digunakan oleh pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pergerakan pemuda dan juga sebagai pusat aktiviti agama.

Beliau turut mendakwa, telah menerima notis pada 8 November lalu daripada pejabat daerah berkenaan mengarahkan beliau untuk memulangkan kunci pusat komuniti atas alasan ia terletak di tanah Kerajaan Negeri.

Azhar seterusnya mendakwa, beliau telah menghantar surat bertarikh 16 November lalu untuk pegawai tersebut mempertimbangkan arahan itu, tetapi masih belum menerima sebarang balasan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain