suria

PM: 1Malaysia Pastikan Rakyat Dokong Visi Jadikan Malaysia Negara Maju

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata konsep 1Malaysia yang menekankan aspek kebersamaan dan inklusif melibatkan rakyat adalah supaya mereka mendokong visi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata konsep itu juga jelas dalam Wawasan 2020, yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju, bukan sahaja daripada segi pencapaian mikroekonomi tetapi turut menekankan aspek perpaduan nasional merangkumi prinsip kebersamaan, tolak ansur dan kepelbagaian.

"Malah wawasan itu telah diterima oleh semua rakyat Malaysia, dan dijadikan wawasan bersama," katanya semasa berucap pada program Pemantapan dan Permasyarakatan Dewan Negara, Parlimen Malaysia di Dewan Bankuet Parlimen di sini Khamis, yang turut dihadiri Dr Mahathir.

Seramai 300 anggota dan bekas anggota Dewan Negara hadir pada majlis itu.

Tetamu lain termasuk bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar dan Pengerusi Yayasan 1Malaysia Prof Dr Chandra Muzaffar.

Najib berkata konsep perpaduan yang ditekankannya di bawah konsep 1Malaysia turut dicerminkan dalam bidang sukan negara khususnya pasukan bola sepak dan badminton.

Najib berkata dalam pertemuannya dengan skuad bola sepak Harimau Malaya pada tahun lepas, beliau mendapati pemain-pemain yang bersama dalam satu pasukan sejak di peringkat sekolah, telah memperlihatkan semangat kekitaan yang kuat.

"Selain itu, kita boleh lihat pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Misbun Sidek, di mana apabila Chong Wei menang, orang pertama yang dipeluknya ialah Misbun selaku jurulatihnya," katanya.

Beliau berkata gagasan 1Malaysia ini menggalakkan rakyat Malaysia bersifat inklusif supaya akhirnya "ia bukanlah apabila kita sebut bangsa Malaysia, itu tidak bermakna menjadikan orang Cina lebih seperti Melayu."

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Najib berkata kefahaman masyarakat mengenai gagasan itu masih tidak begitu tinggi walaupun ia telah disebarkan secara meluas.

"Mereka faham apa gagasan 1Malaysia tapi kefahaman mereka itu tidak sedalamnya. Ini disebabkan bila kita buat sesuatu ucapan misalnya, jumlah yang mendengar dan menghayati ucapan kita peratusannya tidak begitu tinggi walaupun disebar dalam media dan sebagainya.

"Untuk mencapai matlamat 1Malaysia, kita terpaksa buat tindakan susulan dan perluaskan lagi mesejnya," kata Perdana Menteri.

Beliau juga berharap pihak media turut memainkan peranan membantu menjelas dan mengupas mengenai gagasan 1Malaysia dengan lebih mendalam.

"Kupasan itu perlu supaya kefahaman terhadap gagasan 1Malaysia lebih tepat pada maksudnya, dan juga yang tersirat di sebalik gagasan 1Malaysia," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Najib berkata pemilihan konsep pemerintahan negara berdasarkan Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen oleh pemimpin-pemimpin terdahulu adalah satu langkah yang bijaksana kerana ia memberikan rakyat hak untuk memilih kerajaan melalui proses pilihan raya setiap lima tahun sekali, dan juga peluang kepada pucuk pimpinan merangka pelbagai perancangan.

"Kita tidak terburu-buru untuk membuat perancangan dan tindakan yang bersifat jangka pendek atau pun bersifat terlalu populis tetapi mengorbankan kepentingan generasi yang akan datang.

"Sebab itulah kita sejak Merdeka telah dapat melaksanakan 10 Rancangan Pembangunan Lima Tahun (siri Rancangan Malaysia) dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang, yang berjaya dirangka dan dilaksanakan, dan ini semua menyebabkan negara kita lebih makmur dan kehidupan rakyat lebih baik.

"Tidak ada sesiapapun yang tidak kagum dengan kejayaan negara Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain