suria

Tiga Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Pahang

KUANTAN: Tiga termasuk seorang murid lelaki tahun empat, maut dalam kemalangan berasingan di Pahang, Isnin.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abd Rahim berkata, nahas yang membabitkan pelajar itu berlaku di Kilometer 42 Jalan Lipis-Merapoh pada 5.45 petang.

"Mangsa, Mohd Hazwa Haziq Mohd Fian, 10, berasal dari Kampung Pagar Sasak, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lipis akibat cedera parah di kepala," katanya kepada pemberita, Selasa.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan dari Sekolah Rendah Kebangsaan Pagar Sasar untuk ke rumah datuknya.

MPV itu dipandu seorang anggota polis berusia 32 tahun yang dalam perjalanan dari arah Merapoh ke Kuala Lipis bersama isteri dan tiga anaknya.

Kemalangan di Kilometer 118.8 Jalan Kuantan-Johor Baru dekat Rompin pula membabitkan sebuah motosikal dan sebuah van.

Fauzi berkata dalam insiden itu, pekerja sebuah stesen minyak, Norizan Baki, 34, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikalnya dilanggar van berkenaan pada 8.15 pagi.

"Kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Muadzam Shah menuju ke Rompin, dan mangsa dikatakan keluar dari sebuah simpang tanpa berhenti, sebelum dirempuh sebuah van dari arah Johor ke Kuantan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah motosikal lain di kilometer 3 Jalan Pekan-Kuantan dekat Pekan kira-kira 1.10 petang, Isnin.

Fauzi berkata ketika kejadian, Azrul Zuhairi Zakaria, 30, dari Kampung Panchor, Jalan Kampung Tengah di sini, dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.

"Sampai di lokasi (kejadian), sebuah motosikal lain telah masuk ke laluan bertentangan di sebuah selekoh sebelum bertembung dengan mangsa, dan mangsa disahkan meninggal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan malam Isnin," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain