suria

Proses Pemindahan Pelajar Di Mesir Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Proses pemindahan para pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah berjalan lancar, kata Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail.

Beliau berkata kesemua pelajar dipindahkan dengan menaiki bas dari asrama masing-masing menuju ke Asrama Malaysia di Kaherah dan Asrama Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Iskandariah sebelum bertolak ke lapangan terbang.

"Dari situ, semua pelajar akan dibawa ke lapangan terbang juga menaiki bas. Kita akan bergerak secara konvoi bagi memastikan keselamatan lebih terjamin.

"Setakat ini semua pelajar berada dalam keadaan yang baik sama ada di asrama mahupun di lapangan terbang," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata sebanyak 12 penerbangan ke Jeddah akan dilakukan hari ini melibatkan tiga pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), serta masing-masing dua pesawat Penerbangan Malaysiaa (MAS) dan AirAsia.

"Semua pesawat akan melakukan penerbangan ulang-alik tapi semuanya bergantung kepada landing rights (kebenaran mendarat) dari Jeddah. Kalau mereka (pihak berkuasa Jeddah) beri lebih, kita harap boleh push (minta) untuk lebih banyak penerbangan," katanya.

Beliau berkata dua pesawat TUDM serta sebuah pesawat MAS dan AirAsia akan melakukan penerbangan dari Lapangan Terbang Kaherah, manakala selebihnya dari Lapangan Terbang Iskandariah.

Shahlan berkata pada masa ini sebahagian besar pelajar telahpun berkumpul di lapangan terbang dan penerbangan pertama dijangka pada pukul 9 pagi ini (waktu tempatan).

Katanya pihak kedutaan telah mengarahkan proses pemindahan pelajar dilakukan sebaik sahaja tamat perintah berkurung sementara keadaan masih lagi tenang.

"Keadaan di sini sangat tenang, tapi kita tak boleh predict (jangka) sebab hari ini Jumaat...biasanya apa-apa perhimpunan besar akan dibuat pada hari Jumaat. Apa yang kita harapkan adalah untuk cuba pindahkan anak-anak kita ke Jeddah secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pengajian Islam, Persatuan Melayu Republik Arab Mesir Mohd Sulaiman Ismail berkata Kedutaan Besar Malaysia telah menyediakan 13 buah bas bagi memindahkan para pelajar dari Tanta ke Kaherah.

"Baru sebentar tadi sebanyak lima buah bas telah bertolak ke sana dan kita sedang menantikan ketibaan lapan buah bas lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Proses pemindahan yang bermula hari ini melibatkan hampir 800 orang pelajar Malaysia menetap di Tanta, kira-kira 80 kilometer dari Kaherah, dan kebanyakan mereka merupakan pelajar perubatan Universiti Tanta dan Universiti Al-Azhar.

Mohd Sulaiman berkata walaupun terdapat rusuhan yang berlaku di wilayah itu, namun keadaan tidak seteruk di Kaherah.

Bagaimanapun, beliau tetap khuatir dengan keselamatan mereka memandangkan jarak yang jauh dari Kaherah.

"Kami ada dengar dari pelajar lain yang dipindahkan sebelum ini ada banyak sekatan di tengah jalan...ada yang naik dan periksa bas tapi Alhamdulillah, tiada apa-apa kejadian tak diingini berlaku. Semua OK," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain