suria

Budak 14 Tahun Yang Didakwa Mencabul Fail Semakan Terhadap Keputusan Majistret

KUALA LUMPUR: Seorang budak lelaki berumur 14 tahun, yang gagal membayar wang jaminan selepas didakwa mencabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, pada Jumaat menfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Juvana yang menolak permohonannya bagi mengurangkan jaminan.

Permohonan itu difailkan melalui peguamnya P.Uthayakumar di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini pada Jumaat.

Dalam permohonan itu, Uthayakumar mendakwa Majistret Mahkamah Juvana menolak permohonannya untuk mengurangkan wang jaminan dari RM1,700 kepada RM300 bagi membebaskan budak itu sementara perbicaraan kes itu selesai.

Beliau berkata budak itu dipenjarakan sejak 10 Nov tahun lalu di Asrama Sentosa Sentul selepas gagal membayar wang jaminan itu kerana ibu budak itu yang bekerja sebagai tukang sapu hanya mendapat gaji RM450 sebulan.

Uthayakumar mendakwa keputusan Majistret yang menolak permohonannya bagi mengurangkan wang jaminan sehingga budak itu diletakkan di asrama itu menyebabkan wujudnya ketidakadilan terhadap budak itu kerana perbicaraan kes mungkin akan mengambil masa setahun atau dua tahun lagi.

Uthayakumar mendakwa sehingga 26 Jan lepas kes itu masih di peringkat sebutan.

Dalam permohonannya, Uthayakumar antara lain mahu Mahkamah Tinggi melepaskan tanpa membebaskan budak itu daripada asrama itu mengikut Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah atau di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 10 Nov tahun lepas, budak lelaki itu dari Pelabuhan Klang, didakwa mencabul kehormatan budak berumur lapan tahun di kolam renang di Pantai Hill Park Condominium, di sini pada 3 Ogos, tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain