suria

MB Selangor Bertemu Setiausaha Kerajaan Negeri Pada 7 Feb

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertemu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi pada 7 Feb.

Kedua-dua mereka dijangka mengeluarkan kenyataan akhbar bersama berhubung hasil pertemuan itu pada hari yang sama.

Abdul Khalid bagaimanapun enggan mengulas sama ada kerajaan negeri itu telah membuat keputusan untuk membenarkan Mohd Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan beliau.

"Rakyat akan tahu (mengenai pelantikan dan kedudukan Mohd Khusrin) pada 7 Feb, iaitu selepas cuti Tahun Baru Cina," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco dekat sini.

Abdul Khalid mempertikaikan pelantikan Mohd Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri berkuat kuasa 1 Jan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, dengan mengatakan beliau tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pelantikan itu.

Berikutan itu, kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri pada Isnin lepas untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, namun gagal memperoleh majoriti dua pertiga yang diperlukan.

Cadangan pindaan itu adalah untuk mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri, yang berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Abdul Khalid juga berkata kerajaan Selangor di bawah pakatan pembangkang akan memulakan kempen di seluruh negeri tidak lama lagi bertujuan memberi penjelasan berhubung isu pindaan perlembagaan itu untuk mendapatkan sokongan orang ramai.

Beliau berkata langkah itu merupakan usaha ke arah meraih majoriti dua pertiga di Selangor menjelang pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata keputusan kerajaan untuk memperluaskan skop Suruhanjaya Siasatan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock perlu dijalankan secara menyeluruh.

"Suruhanjaya berkenaan mestilah betul-betul teliti dan keputusan akhir siasatan itu perlu dihormati," katanya.

Pada 16 Julai, 2009, Teoh, Setiausaha Politik Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima koridor Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

Pada 5 Jan lepas, koroner yang mendengar inkues terhadap kematian Teoh membuat keputusan terbuka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain