suria

Kalendar dari Siam

PENULIS mempunyai hubungan yang sangat nostalgik dengan Thailand atau dalam bahasa orang utara dipanggil saja Siam. Sebabnya pelbagai tetapi ia ada kaitan dengan sejarah silam dan juga sejarah kerjaya.

Memori pertama tentang Siam yang melekat di otak penulis adalah kerana bapa penulis sangat gerun dengan Siam.

Usah kata nak dengar nama, nak dekat dengan sempadan Siam pun beliau seram. Peristiwa ini berlaku di tahun 1970-an semasa penulis masih kecil dan tinggal di pekan kecil bernama Nibong Tebal di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Masa itu, orang kampung setahun sekali suka buat rombongan ke Padang Besar, iaitu pekan bersempadan dengan Siam di Perlis untuk membeli belah --- beli kain, baju budak, beli periuk belangga, beli perkakas dapur dan beli buah-buahan terutamanya anggur dan epal.

Ibu penulis yang merupakan seorang shopaholic atau kaki beli, tidak pernah melepaskan peluang mengikuti rombongan ke Padang Besar.

Oleh kerana bapa penulis tidak selesa dengan Siam, maka penulislah yang menjadi wakil pihak lelaki dari keluarga kami untuk menyertai rombongan membeli-belah ke sempadan Siam. Penulis ikut bukan kerana berani tetapi kerana tidak tahu apa-apa.

Dalam salah satu siri rombongan yang pernah penulis ikuti, penulis yang ketika itu baru berusia sembilan atau sepuluh tahun menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana seorang peniaga yang ingin mengembalikan baki wang kepada kami membuka kain yang mengandungi wang hasil jualannya dan di dalamnya terdapat sepucuk revolver.

Peniaga itu mengembalikan wang dengan wajah yang tersenyum kepada ibu penulis. Itulah peristiwa yang menakutkan tentang Siam yang terpahat di memori penulis.

Seandainya bapa penulis mengetahui peristiwa itu nescaya dia tidak akan mengizinkan kami mengikuti rombongan itu lagi. Maka peristiwa itu pun dirahsiakan dari pengetahuannya bagi membolehkan kami mengikuti rombongan pada tahun berikutnya.

Kemudian pada tahun 1987 iaitu tiga tahun selepas penulis menyertai dunia pekerjaan sebagai wartawan, penulis membuat keputusan untuk mengembara mengelilingi dunia bersama kawan sepejabat yang bernama Kris Kan.

Ketika kami berdua masuk ke pejabat Ketua Pengarang kami, Tan Sri Zainuddin Maidin yang ketika itu kami hanya memanggil dengan nama Encik Zam sahaja, untuk memaklumkan tentang hasrat kami mahu berhenti kerja dan mengelilingi dunia, beliau telah bertanya, pengembaraan kami akan bermula dari mana. Dan kami menjawab, “Thailand...”

Penulis tidak akan lupa peristiwa ini kerana analogi yang cuba Zam sampaikan kepada kami. Dengan senyuman sinis, Zam berkata, “masuk ke Thailand sama seperti masuk jamban (tandas), kalau tidak berak pun orang akan berkata kita berak.”

Penulis pada mulanya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh ketua kami itu tetapi kemudian selepas keluar dari biliknya, baru Kris jelaskan kepada penulis. “Zam kata, kalau masuk Thailand, tak langgan perempuan pun orang tetap akan kata kita langgan perempuan.”

Begitulah dahsyat sekali imej yang terpahat tentang Thailand pada otak dan pemikiran masyarakat kita iaitu sebut saja Siam ia ada kaitan dengan senjata dan perempuan.

Bagaimanapun penulis yang telah mengembara mengelilingi dunia turut merentasi bumi Thailand dengan menumpang kereta, berjalan kaki, menaiki bas dan kereta api.

Penulis telah mendapati sebaliknya. Perjalanan kami aman belaka dan kami telah menemui dengan pelbagai jenis manusia yang berbudi bahasa, lemah lembut, pemurah, baik hati yang merupakan orang asing yang menjemput kami untuk tidur dan tinggal di rumah mereka tanpa banyak soal tentang asal usul kami pun.

Beberapa hari yang lalu ketika memasuki pejabat, penulis telah melihat satu sampul surat besar yang tertera perkataan Islamic Calendar for 2011 di atas meja.

Di sebelah bawah sampul surat itu tertulis The Ministry of Foreign Affairs of the Kingdom of Thailand berserta logo kementerian itu sendiri dan juga terjemahannya yang ditulis dalam bahasa Arab. Ia adalah kiriman Kedutaan Thailand yang terletak di Jalan Ampang.

Seingat penulis, inilah pertama kali penulis menerima kalendar yang sebegitu rupa dari Kerajaan Thailand menerusi kedutaannya di sini.

Di dalamnya terdapat kalendar meja yang cantik. Dan Kalendar ini bukan sahaja mengandungi tarikh dan bulan dalam tahun masihi tetapi juga tarikh hijrah serta tarikh-tarikh penting perayaan umat Islam seperti bulan puasa, tarikh hari raya puasa, haji dan awal Muharram.

Kalendar itu juga mengandungi senarai alamat kedutaan Thailand di seluruh negara Islam. Pada helaian pertamanya, disertakan serba ringkas tentang sejarah perkembangan Islam di negara itu yang katanya bermula sejak era Kerajaan Ayudhya lagi lebih 400 tahun yang lalu. Hari ini, satu persepuluh daripada jumlah penduduk Thailand adalah beragama Islam.

“Kewujudan masjid di kesemua 38 wilayah di seluruh Thailand - yang mana kebanyakannya berdiri teguh bersebelahan dengan tokong, rumah ibadat atau gereja - melambangkan kebebasan beragama yang dinikmati oleh masyarakat Thai yang menganut pelbagai agama dan terdiri daripada pelbagai etnik.

"Malah Raja sendiri berasaskan tradisi istana dan juga undang-undang negeri adalah pelindung kepada semua penganut agama yang rakyatnya memilih untuk dianuti. Sepertimana rakyat Thai yang berlainan agama, hak umat Islam di Thailand adalah dilindungi dan dijamin di bawah perlembagaan.

“Kementerian Hal Ehwal Luar Thailand berbangga untuk menerbitkan kalendar ini yang di dalamnya terdapat gambar-gambar masjid dan seni bina Islam yang dibina di seluruh Thailand. Senibina ini adalah sebahagian daripada warisan budaya kami yang dengan sendirinya menceritakan tentang kebebasan beragama untuk pemahaman rakan-rakan Islam kami di luar negara,” kata kementerian itu dalam mukadimah ringkas yang terkandung di belakang kulit dalam muka pertama kalendar tersebut.

Penulis sangat memahami daya usaha yang dilakukan oleh Kementerian Luar Thailand untuk memberitahu dunia bahawa Islam adalah sebahagian daripada cara hidup rakyatnya.

Apatah lagi di selatan negara itu yang menjadi wilayah majoriti penduduk Islam, pergolakan masih berlaku walaupun pelbagai langkah termasuklah dengan bantuan Kerajaan Malaysia dilakukan untuk mengembalikan keamanan di sana.

Yang terbaru Rabu lalu, empat askar Thailand dilaporkan terbunuh dalam satu serangan hendap di sebuah kem tentera di selatan negara itu.

Dalam serangan itu, lebih daripada 50 pucuk rifel dan 5,000 peluru dilarikan oleh sekumpulan penyerang yang disifatkan sebagai kumpulan militan. Pergolakan di selatan Thailand telah meragut lebih 4,400 nyawa sejak awal tahun 1980-an lagi.

Penulis sendiri pada tahun 1988 pernah dihantar untuk menemuramah Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Chavalit Yongchaiyudh yang memperkenalkan satu program yang beliau sendiri namakan sebagai HARAPAN BARU untuk membawa pemodenan dan kemajuan di kalangan masyarakat Melayu di empat wilayah iaitu, Narathiwat, Yala, Patani dan Satun.

Jeneral Chavalit memilih nama Melayu untuk program integrasi kaum itu sebagai satu langkah mendekatkan diri pemerintah dengan masyarakat Melayu kerana rasa skeptikal masyarakat Melayu Thailand terhadap pemerintah khususnya tentera sangat menebal.

Untuk beberapa tahun selepas program itu dilancarkan, keamanan berjaya dipulihkan di selatan Thailand. Malangnya, selepas persaraan Jeneral Chavalit, penggantinya tidak dapat membawa semangat yang cuba dibawa oleh Chavalit kepada masyarakat Melayu di selatan.

Keamanan hanya dapat dipulihkan apabila masyarakat Melayu di sana merasakan mereka adalah sebahagian daripada Negara Thai.

Artikel Sebelum

Artikel Lain