suria

Kabinet Arah Teruskan Perbincangan Isu Interlok Sehingga Capai Penyelesaian

KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Kementerian Pelajaran meneruskan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk wakil pilihan MIC berhubung isu novel Interlok sehingga satu penyelesaian memuaskan dicapai, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan hasil mesyuarat perbincangan mengenai isu tersebut di Kabinet semalam.

Mesyuarat mengenai perbincangan itu yang dipengerusikan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi yang diadakan Selasa lepas dihadiri 22 wakil dari pelbagai organisasi termasuk enam wakil dari MIC.

Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia berkata perbincangan pertama itu tidak mendapat persetujuan semua pihak.

"Bagaimanapun, perbincangan pertama itu merupakan satu pembukaan di mana isu tersebut telah diterangkan tetapi ia kena terus dibincang sehingga satu penyelesaian yang sesuai dicapai," katanya ketika ditemui pada majlis perayaan Thaipusam yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Batu Caves dekat sini, Khamis.

Dr Subramaniam berkata tiada tempoh masa yang ditentukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain terbitan Dewan Bahasa dan Pustakan (DBP) sebagai teks sastera telah menimbulkan kontroversi kerana terdapat kandungannya yang dikatakan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain