suria

Pemborong Ikan Edar Dadah Dihukum Mati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, memerintahkan seorang pemborong ikan dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan bersalah mengedar dadah methamphetamine.

Hakim Datuk Wira Moktarudin Baki menjatuhkan hukuman itu terhadap T’ng Chee Woon, 37, selepas berpuas hati bahawa pembelaan yang dikemukakan dia gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Beliau memutuskan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan dan pemilikan eksklusif terhadap dadah yang ditemui dalam tempat letak barang kereta yang dipandu oleh tertuduh.

T’ng didakwa mengedar dadah seberat 371.3 gram itu pada pukul 3 petang, 13 November 2008 di kawasan padang Jalan Tembaga SD 5/2B, bandar Sri Damansara, Sg Buloh, dekat sini.

Selain itu, Moktarudin turut memerintahkan agar T’ng dihukum penjara selama lima tahun atas kesalahan memiliki 7.18 gram dadah Methylenedioxymenthampetamine (MDMA).

Manakala bagi kesalahan memiliki 6.10 gram ketamin, T’ng dihukum penjara selama lima tahun.

Pendakwaan terhadap T’ng dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar mengemukakan sembilan saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan dijalankan.

Tertuduh yang diwakili oleh peguam Thong Seng Kong pula memanggil empat saksi pembelaan untuk menyokong pembelaan yang dikemukakan secara bersumpah.

Artikel Berikut

Artikel Lain