suria

Lelaki Didakwa Edar Heroin

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin manakala lima lagi rakannya didakwa memiliki metamphetamine di mahkamah berasingan.

Affandi Mohammad, 36, dari Kampung Beris Panchor, Bachok Kelantan didakwa mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 311.55 gram pada 9.45 malam di hadapan Surau Haji Awang, Kampung Losong Haji Awang, di sini, 4 Januari lalu.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman mati mandatori. Tertuduh hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.

Majistret menetapkan 22 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen lima rakannya didakwa secara bersama memiliki dadah jenis metamphetamine dengan berat kasar 48.5 gram pada pukul 8 malam 4 Januari lalu di sebuah rumah bernombor 701-B, Kampung Losong Haji Awang.

Tertuduh, Mohd Ridzuan Abd Ghani, 25, Roshazimi Aliyes, 29, Mohd Razaini Abdul Rashid, 25, Mohd Rashidi Omar, 21, dan Wan Saifuddin Bakhtiar Che Sulaiman, 37, semuanya berasal dari daerah sini.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan rotan tidak kurang 10 kali.

Hakim Mahkamah Sesyen Azman Mustapha menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes dan mendapatkan laporan kimia.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah. -BERNAMA

Artikel Lain