Tiga Wanita Antara 29 Ditahan Terlibat Dalam Judi Sabung Ayam Di Rawang - Semasa | mStar

Tiga Wanita Antara 29 Ditahan Terlibat Dalam Judi Sabung Ayam Di Rawang

KUALA LUMPUR: Tiga wanita -- dua warga Indonesia dan seorang warga tempatan -- adalah antara 29 individu yang ditahan polis semalam kerana dipercayai terlibat dalam perjudian sabung ayam di sebuah bangsal kolam ternakan ikan air tawar di Taman Saujana Utama, Bandar Country Home, Rawang.

Suspek berumur 20 hingga 31 tahun berada di premis berkenaan ketika polis menyerbu bangsal itu kira-kira 5.30 petang dan mereka ketika itu dikatakan asyik melihat pertarungan ayam sabung.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, kata Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rahim Abdullah dalam sidang media di pejabatnya di sini, Isnin.

Beliau berkata hasil risikan polis, bangsal yang terletak di pedalaman itu telah hampir seminggu dijadikan pusat kegiatan judi sabung ayam.

Turut ditemui dan dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai RM38,000, beberapa pil dipercayai ubat kuat ayam, 13 taji, tiga buah dadu dan dua buah elefon bimbit. Lapan ekor ayam digunakan dalam kegiatan judi itu.

Abdul Rahim berkata polis akan mengambil keterangan kesemua yang terlibat dalam penganjuran judi itu dan pemilik bangsal berkenaan.

"Kita juga akan menyiasat sama ada pemilik bangsal itu tahu atau tidak mengenai kegiatan sabung ayam di bangsalnya," katanya, sambil menambah ini kali pertama bangsal itu diserbu.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata kadar jenayah di daerah Gombak menurun tahun lepas berbanding 2009 berikutan kewujudan balai polis komuniti.

"Bagi tahun lepas, hanya terdapat 843 kes sahaja berbanding tahun 2009 iaitu 6,807 dengan tangkapan 1,688 suspek dan 53 peratus daripadanya berjaya diselesaikan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain