suria

Pinjaman Mangsa Banjir Dengan Agensi Kerajaan Dilupus

SETIU: Baki pinjaman tabung bantuan mangsa-mangsa banjir dengan agensi kerajaan akan dilupuskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata penilaian akan dibuat sekiranya barangan yang digunakan untuk perniagaan peminjam seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia musnah dalam bencana banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

"Pinjaman TEKUN adalah pinjaman kecil untuk bantu penduduk atasi masalah kemiskinan, sekiranya wang pinjaman itu digunakan membeli barang untuk berniaga dan barang itu rosak semasa banjir, macam mana mereka nak bayar.

"Kerajaan memahami masalah seperti ini, jadi baki pinjaman yang ada, kerajaan akan lupuskan semuanya," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau sebelum itu menyampaikan Bantuan Wang Ihsan kepada 229 keluarga mangsa banjir di daerah Setiu. Setiap keluarga menerima bantuan sebanyak RM500.

Selain itu, Mohamed Nazri yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata semua mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan juga diberikan bantuan wang ihsan dengan jumlah yang sama.

"Yang penting mereka disahkan dan didaftarkan oleh pegawai di daerah masing-masing sebagai mangsa banjir walaupun tidak berpindah ke pusat pemindahan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau meminta Jabatan Pertanian di semua kawasan yang dilanda banjir mempercepatkan urusan audit kerugian yang dialami petani dan penternak bagi membolehkan MKN memberi bantuan wang ihsan secepat mungkin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain